Guru meninggal bukan kerana suntikan vaksin COVID-19

Masa Membaca:57 Saat

SEREMBAN 5 April. – Polis hari ini menafikan maklumat tular menerusi media sosial kononnya seorang guru meninggal dunia selepas mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed menjelaskan wanita itu mengalami sawan semasa berada di rumah dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson pada 1 April untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya.

“Berita tular ini tidak benar dan pihak polis menafikan punca kematian mangsa disebabkan oleh pengambilan vaksin pada 30 Mac lalu.

“Ini kerana siasatan awal pihak hospital mendapati mangsa yang meninggal dunia mempunyai rekod rawatan penyakit kronik iaitu sakit kencing manis, jantung dan darah tinggi sejak setahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai wanita berusia 54 tahun yang merupakan seorang guru di Port Dickson meninggal dunia disebabkan pengambilan vaksin.

Aidi Sham menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan berita tidak benar yang boleh mengelirukan masyarakat, dan tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

606
Kongsi :
Previous post Projek FAM-MSN tidak mungkin lahirkan pemain hebat dalam masa singkat
Next post Lebih 50,000 pelajar menengah kembali ke sekolah hari ini
Ubah saiz-+=