Hajat ‘pecah rumah’ tak kesampaian…

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KLEBANG 17 Julai – Cubaan berani seorang lelaki yang mahu memecah masuk sebuah rumah di Taman Bukit Rambai, di sini, membawa padah apabila dia ditangkap malam tadi.

Ia selepas gerak-geri mencurigakan lelaki yang cuba mengumpil cermin tingkap itu dikesan sepasukan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman berkenaan.

Anggota SRS bertugas kemudiannya segera menghubungi balai polis berdekatan sebelum lelaki berkenaan ditahan anggota polis.

Namun, itu bukanlah kejadian sebenar yang berlaku, sebaliknya ia hanyalah simulasi yang dilakukan SRS KRT Taman Bukit Rambai pada Program Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela malam tadi.

Simulasi itu merupakan antara gimik program yang dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Norison Ramli dan turut dihadiri Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.

SIMULASI kes pecah rumah yang dilakukan SRS KRT Taman Bukit Rambai pada Program Jom Ronda yang dirasmikan Pengarah JPNIN Datuk Norison Ramli.

Hadir sama ke program berkenaan ialah Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, Pengarah JPNIN Melaka Intan Suhana Yusuff dan lain-lain kenamaan.

Terdahulu, Norison yang tiba kira-kira jam 9.20 malam memulakan program dengan memeriksa barisan dan seterusnya mendengar lafaz ikrar SRS KRT Taman Bukit Rambai.

Beliau kemudiannya menyempurnakan ucapan perasmian dan seterusnya menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa SRS terlibat.

Untuk rekod, SRS KRT Taman Bukit Rambai merupakan johan Pengurusan SRS Cemerlang Peringkat Kebangsaan tahun 2020 dalam Anugerah Perdana Rukun Tetangga Kebangsaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1474
Kongsi :
Previous post Laporan situasi COVID-19 dibentang kepada MPN 26 Julai
Next post Kes jenayah harta benda meningkat di Melaka
Ubah saiz-+=