Kes jenayah harta benda meningkat di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KLEBANG 17 Julai – Jenayah harta benda termasuk kes pecah rumah direkodkan meningkat di Melaka sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, jenayah harta benda menunjukkan peningkatan 6.22 peratus daripada keseluruhan 749 kes jenayah yang dicatatkan seluruh negeri pada setengah tahun pertama tahun ini.

Beliau berkata, bagi membendung jenayah di kawasan kejiranan, pihaknya sentiasa berusaha mempertingkatkan aspek penguatkuasan serta tindakan pencegahan jenayah seperti rondaan MPV, Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan cegah jenayah oleh balai polis, Amanita dan sebagainya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penglibatan anggota polis sahaja tidak cukup, sebaliknya ia perlu mendapat penglibatan bersepadu di peringkat komuniti.

Justeru, katanya, penglibatan komuniti khususnya menerusi penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) memainkan peranan cukup penting dalam usaha mencegah jenayah di kawasan kejiranan.

“SRS yang digerakkan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ini merupakan elemen penting dalam menyatukan komuniti dalam usaha pencegahan jenayah.

“Peranan yang dimainkan oleh SRS dalam melaporkan isu keselamatan, melaksanaan rondaan dan mengambil tindakan bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjamin kelestarian keselamatan dan keamanan di kawasan kejiranan.

“Penglibatan komuniti setempat dalam SRS ini adalah peranan penting dalam usaha merangka cara penyelesaian yang bersifat tempat (custom design solution) dan bagaimana SRS dapat mempertingkatkan (heighten) peluang pemerhatian dan pengawasan ke atas nyawa dan harta benda.

“Dengan kemampuan anggota-anggota SRS merangka strategi pencegahan jenayah primer iaitu mengenal pasti persekitaran fizikal dan sosial yang berpotensi mewujudkan peluang kepada perilaku jenayah akan membolehkan setiap SRS membendung dari berlakunya sebarang insiden atau kes jenayah, dadah dan sebagainya di Kawasan Rukun Tetangga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Rambai, di sini, malam tadi.

ZAINOL (kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi KRT Taman Bukit Rambai Ahmad Nor Iman Shawal.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Norison Ramli ; Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, Pengarah JPNIN Melaka Intan Suhana Yusuff, Pengerusi KRT Taman Bukit Rambai Ahmad Nor Iman Shawal dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, jenayah, isu keselamatan dan ketenteraman awam merupakan salah satu indikator yang akan mempengaruhi kesejahteraan dan pembangunan sesebuah negara.

Justeru, beliau berharap sinergi, kerjasama yang lebih kukuh dan tindakan bersepadu antara setiap lapisan komuniti dan pihak polis dapat membentuk kesejahteraan dan keamanan di negara dan negeri ini khususnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2389
Kongsi :
Previous post Hajat ‘pecah rumah’ tak kesampaian…
Next post Cadang lantik SRS pantau harga barang
Ubah saiz-+=