Cadang lantik SRS pantau harga barang

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KLEBANG 17 Julai – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mencadangkan agar skop Skim Rondaan Sukarela (SRS) di setiap komuniti seluruh negara diperluaskan.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Norison Ramli berkata, selain melakukan rondaan berkala dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti, SRS juga mungkin boleh diberi peranan membantu kerajaan memantau harga barangan.

Katanya, tugas SRS sebagai mata dan telinga kerajaan sangat penting memandangkan mereka menjadi antara kelompok yang paling rapat dengan komuniti di kawasan masing-masing.

“Sewaktu saya di KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dahulu, kita ada penguatkuasa pemantau harga, jadi kalau boleh kita mahu SRS juga dilantik sebagai pemantau harga bagi pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Rambai, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah; Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit, Pengarah JPNIN Melaka Intan Suhana Yusuff, Pengerusi KRT Taman Bukit Rambai Ahmad Nor Iman Shawal dan lain-lain kenamaan.

NORISON, Zainol bergambar bersama SRS KRT Taman Bukit Rambai.

Norison berkata, setakat ini terdapat 5,337 SRS telah ditubuhkan di seluruh negara termasuklah 190 SRS di negeri Melaka.

Katanya, bagi mencapai matlamat penubuhan SRS, pihak Jabatan telah menetapkan beberapa program untuk dilaksanakan SRS di peringkat Negeri, Daerah dan juga KRT.

Antaranya, rondaan dan kawalan secara berkala; program Jom Ronda bersama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Agama, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain; serta program pendidikan dan dialog keselamatan kejiranan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1373
Kongsi :
Previous post Kes jenayah harta benda meningkat di Melaka
Next post Taman Bukit Rambai jadi ‘taman angkat’ AMANITA
Ubah saiz-+=