
HAMPIR RM1 JUTA INDAHKAN KAMPUNG BUKIT KATONG
RIM 10 September – Kampung Bukit Katong, Jasin dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI 2.0 dengan menerima peruntukan sebanyak RM935,000 bagi melaksanakan tujuh projek pembangunan infrastruktur dan komuniti di kawasan berkenaan.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, ia merupakan peruntukan daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang memberi tumpuan kepada penyelesaian isu setempat.
“Antara projek akan dilaksanakan termasuk membaik pulih gelanggang futsal, bina dewan terbuka, pemasangan lampu jalan di kawasan gelap, menaik taraf jalan, baik pulih dewan Bukit Senggeh, serta pembangunan gelanggang gasing di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
“Menerusi program ini, ia secara tidak langsung memberi impak besar kepada kira-kira 30,000 penduduk di sekitar kawasan ini.
“Ia juga mencatat sejarah kerana buat pertama kali peruntukan diagihkan secara langsung daripada agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada kampung, menjadikan pelaksanaan projek lebih berfokus dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI BHEUU Jabatan Perdana Menteri di Kampung Bukit Katong, di sini, hari Ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) BHEUU Jabatan Perdana Menteri, Nur Azlin Mohamad Awal; Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom dan Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Ir. Ts. Mohammad Hiriddin Hashim.

Khaidhirah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim berkata, beberapa projek sudahpun dimulakan, manakala selebihnya sedang dalam proses perolehan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan, sebelum penghujung tahun ini.
“Saya harap kemudahan yang dibangunkan ini dapat dijaga dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.