Hanya sebahagian kenderaan NGO dibenar masuk ke Taman Sri Muda – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SHAH ALAM, 21 Dis – Hanya sebahagian kenderaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan keluar dan masuk ke kawasan bencana banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini manakala kenderaan orang awam tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib menyatakan sedemikian susulan tular di media sosial berhubung seorang individu yang mendakwa dihalang untuk menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda.

“Tindakan mengawal kenderaan awam masuk ke lokasi banjir adalah bertujuan mengelak kesesakan dan memberi laluan kepada lori yang keluar masuk membawa mangsa ke pusat pemindahan sementara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baharudin menjelaskan kesesakan di lokasi dikhuatiri akan menambahkan lagi kemudaratan dan menyukarkan proses menyelamatkan nyawa mangsa, selain mengelak kejadian lebih buruk berlaku memandangkan paras air sungai meningkat pada ketika itu.

Katanya semasa kejadian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang bertungkus lumus menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa banjir daripada kawasan berkenaan yang sedang ditenggelami air.

“Keprihatinan semua NGO dan orang awam amatlah dihargai dalam usaha membantu mangsa banjir, bagaimanapun suka diingatkan agar semua pihak tetap mematuhi arahan pihak berkuasa supaya dapat memudahkan proses menyelamatkan mangsa dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mengambil tindakan segera bagi menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas banjir.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

946
Kongsi :
Previous post Banjir: ‘Saya halalkan’ – Pengarah Urusan Mydin
Next post Tragedi chalet Bentong: Satu mayat wanita ditemui, dua lagi masih dicari – Bomba
Ubah saiz-+=