
HARI KOPERASI NEGARA REKOD JUALAN RM1.114 JUTA
AYER KEROH 30 Julai – Penganjuran Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 berjaya mencatatkan nilai jualan berjumlah RM1.114 juta sepanjang tiga hari penganjurannya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, dari 25 hingga 27 Julai lalu.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, selain itu HKN 2025 turut merekodkan potensi jualan menerusi pemeteraian pelbagai perjanjian persefahaman (MoU) antara koperasi dan agensi berkaitan bernilai RM21.7 juta.
Katanya, penganjuran itu juga berlangsung dalam suasana meriah dengan penglibatan 242 reruai mewakili pelbagai koperasi, agensi dan usahawan selain menggamit seramai 58,114 pengunjung.
“HKN 2025 ini memberi impak besar terhadap gerakan koperasi Melaka dan luar dari negeri ini. Koperasi diberi peluang meneroka peluang perniagaan baharu dan menjalin kerjasama antara koperasi seluruh negara yang membuka reruai sepanjang program ini.
“Selain itu, mereka juga dapat menjalinkan kerjasama dengan gerakan koperasi serta berpeluang menceburi bidang perniagaan diusahakan koperasi di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Allex menyifatkan kejayaan penganjuran HKN 2025 sebagai bukti kekuatan gerakan koperasi dalam menjana peluang ekonomi dan jaringan perniagaan baharu.
Menurutnya lagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka turut menyertai program dengan membuka reruai khas bagi urusan pembayaran saman.
“PDRM turut menyertai program HKN 2025 dengan membuka reruai khas bagi urusan pembayaran saman dan telah merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM27,160.
“Program MyFutureJobs On The Go anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut diadakan bersempena HKN 2025 dengan merekodkan seramai 655 orang pencari kerja yang hadir sepanjang tiga hari karnival tersebut berlangsung,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.