Hasnoor mahu PEKIDA terus perjuang hak Islam, Melayu
AYER KEROH 4 Jun – Anggota Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) di negeri ini diminta agar terus bersemangat dalam memperjuangkan hak serta kepentingan Islam dan orang Melayu.
Pengerusi PEKIDA Melaka, Datuk Wira Hasnoor Sdg Husin berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, setiap anggota pertubuhan itu mesti mengatur gerak kerja dan haluan yang sempurna.
Menurutnya, anggota PEKIDA harus bergerak dalam satu hala tanpa berbeza matlamat, seiring dengan pegangan Fisabilillah dan mereka harus berjuang mempertahankan kekuatan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini.
“Tidak perlu ada persengketaan sesama kita kerana senjata yang paling ampuh adalah perpaduan.
“Semua anggota PEKIDA perlu bergerak bersama bagi memantapkan pertubuhan itu agar lebih disenangi masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan mesyuarat PEKIDA daerah Melaka Tengah dan penyampaian Watikah dekat Hotel Kobemas baru-baru ini.
PEKIDA merupakan pertubuhan bukan kerajaan atau lebih dikenali sebagai pertubuhan perjuangan 30 yang ditubuhkan bagi membela orang Melayu yang beragama Islam di negara ini.
Selain itu menurut Hasnoor, selain menguatkan perjuangan agama dan bangsa, anggota harus mempamerkan tata tertib serta perlakuan yang baik agar tidak dipandang serong oleh masyarakat.
“Masyarakat sentiasa memerhatikan gerak-geri anggota PEKIDA, oleh itu, anggota mestilah mengambil daya usaha yang baik untuk memantapkan pertubuhan kita.
“Kita juga menyaksikan perpecahan Melayu hari ini yang berlaku dalam politik semasa negara, ia telah memecahbelahkan pemikiran orang Melayu dengan agenda politik yang licik yang akhirnya melemahkan institusi Melayu amnya,” kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, penubuhan PEKIDA harus digerakkan ke arah menyatu padukan bangsa Melayu yang dilihat berpecah kesan daripada agenda politik berkepentingan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.