Sorting by

×

‘HEBAT’ MUDAHKAN RAKYAT, TINGKAT KUALITI KEBERKESANAN PENTADBIRAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 3 Februari – Program Hari Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) Bersama Rakyat (HEBAT) menjadi platform terbaik dalam memudahkan urusan dan menjimatkan masa rakyat dalam menyalurkan sebarang bentuk aduan di peringkat komuniti.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad berkata, program berkonsep santunan rakyat itu juga menjadi komitmen dan manifestasi dalam meningkatkan lagi kualiti keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Jelas beliau, menerusi program itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama kesemua Exco Kerajaan Negeri dan agensi di bawah 11 portfolio mereka akan bersama rakyat bagi mendengar segala permasalahan, pandangan atau permohonan yang boleh diselesaikan tanpa perlu menempuh kerenah birokrasi.

“Melalui pendekatan ini, rakyat dapat berurusan membabitkan pelbagai perkara. Sama ada aduan atau pandangan, hinggalah ke urusan berkaitan perumahan, kesihatan, kebajikan, pinjaman dan lain-lain lagi.

“Secara tidak langsung ini menjimatkan masa, memudahkan urusan dan seterusnya meningkatkan kualiti keberkesanan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita memberi jaminan bahawa Ketua Menteri bersama barisan Exco Kerajaan Negeri dan agensi serta jabatan amat terbuka dan tiada protokol, di mana rakyat boleh datang dan berbincang secara lebih mesra,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung pada program Kokenut Shake Dulu Special bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka bagi mempromosikan HEBAT Siri 1/2026 di konti MelakaFM.

623211719 1415984353873585 85474507522108444 n
POSTER hebahan HEBAT Siri 1/2026.

Menurut Azhar, melihat kepada sambutan luar biasa yang diterima pada dua siri yang diadakan tahun lalu, bermula 2026, HEBAT akan diadakan setiap 45 hari di Kompleks Seri Negeri.

“Konsep pada 2026 ini masih lagi sama seperti tahun lalu, cuma kita menambah bilangan penganjurannya daripada tiga bulan sekali kepada 45 hari sekali.

“Fokus utama kita adalah untuk bertemu rakyat dan berusaha membantu mereka sebaik mungkin sama ada secara ‘on the spot’, mahupun mengikut satu tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

235
Kongsi :
Previous post GELANGGANG BOLA JARING DINAIK TARAF, PERKASA SUKAN KOMUNITI KAMPUNG GADEK
Next post MENARA TAMING SARI ‘BELANJA’ 18 PENGUNJUNG