Hilang takut bersunat selepas tonton ‘Upin Ipin’

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PENGKALAN BATU 5 Mac – Sedutan babak kartun animasi ‘Upin dan Ipin berkhatan’ ternyata memberi inspirasi buat dua beradik yang menyertai Program Berkhatan anjuran Masjid Nur As-Saadah, di sini hari ini.

Mereka adalah Muhammad Ammar Mohd Redzwan, 7 dan Muhammad Amsyar, 5 tahun yang bersemangat datang seawal jam 9 pagi lagi.

Ibunya Siti Asmah Ali, 39, ketika ditemui meluahkan nada gembira apabila kedua-dua anak lelakinya itu sedikit pun tidak gementar untuk berkhatan, malah lebih teruja.

“Reaksi anak bila beritahu nak sunat semua tidak takut, malah mereka jadikan kartun Upin dan Ipin dalam babak berkhatan sebagai inspirasi untuk datang khatan hari ini.

“Saya pun awal-awal dah terangkan pada mereka apa itu berkhatan, kalau takut saya pesan pegang tangan ayah mereka.

“Mulanya risau juga sebab anak yang seorang lagi baru berusia lima tahun, tapi alhamdulillah semua urusan dipermudahkan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

SITI Asmah bersama dua anaknya Muhammad Ammar (kiri) dan Muhammad Amsyar (kanan). dalam program berkhatan anjuran Masjid Nur As Saadah, Pengkalan Batu.

Manakala bagi Puteh Maelah, 61, yang membawa dua cucunya untuk berkhatan turut gembira kerana cucunya tidak gementar untuk berkhatan.

“Makcik bawa dua cucu seorang usia 6 tahun dan seorang lagi 5 tahun, kedua-dua mereka sangat berani dan awal pagi dah bangun.

“Makcik cuma pesan kalau mereka (cucu) nak menangis, menangislah asalkan mereka tidak lari,” katanya yang menetap di Kampung Pengkalan Batu.

Sementara itu Pengerusi Masjid Nur As-Saadah, Datuk Amzah Osman berkata, seramai 18 anak-anak berusia 4 hingga 11 tahun hadir untuk berkhatan dalam program kali ini.

Katanya, kesemua mereka juga dikhatankan secara percuma dalam program tersebut.

“Ini program pertama di Pengkalan Batu anjuran masjid, mulanya kita daftar 22 orang tapi ada kekangan hanya 18 orang dapat datang.

“Untuk anak-anak kariah masjid kita memamg bagi percuma mereka berkhatan termasuk anak kariah yang telah berpindah.

“Awalnya saya nak 30 orang yang sertai khatan percuma ini, tapi disebabkan pandemik COVID-19 semakin menular kita terpaksa hadkan demi menjaga prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

AMZAH memberi saguhati kepada anak-anak yang berkhatan.

Katanya lagi, insiatif itu akan diteruskan bagi fasa dua dan tiga berikutan sambutan diberikan ibu bapa sangat menggalakkan.

“Ini fasa pertama akan ada fasa kedua dan ketiga. Saya nak jaga anak orang kampung di sini, bukan sahaja berkhatan, malah untuk belajar dan sebagainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1215
Kongsi :
Previous post Tiada syarat wajib ‘booster’ untuk peniaga, pengunjung pasar malam
Next post Peniaga rugi RM23,000 ditipu ‘scammer’ jual kereta terpakai di Facebook
Ubah saiz-+=