Sorting by

×

Hishammuddin rai atlet ATM, UPNM raih pingat Sukan SEA Hanoi

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini meraikan 10 atlet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada atlet berkenaan atas kejayaan mengharumkan nama negara.

“Semoga kejayaan memenangi pingat ini akan membakar semangat untuk terus mewakili negara dengan cemerlang pada masa akan datang,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat kementeriannya di Kem Kementah di sini hari ini.

Hishammuddin turut menghadiahkan challenge coin kepada atlet tersebut.

Pada temasya sukan itu, atlet ATM berjaya membawa pulang dua pingat emas, lima perak dan lapan gangsa, manakala atlet UPNM meraih empat emas dan satu gangsa.

Pada majlis berkenaan, Hishammuddin turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kakitangan, veteran, ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) dan pelajar pusat Maahad Tahfiz di Taman Keramat.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1040
Kongsi :
Previous post Malaysia, Jepun bakal muktamad MoC penghantaran pekerja mahir
Next post Sulaiman sampaikan anugerah tokoh kepada bekas guru
Ubah saiz-+=