Sulaiman sampaikan anugerah tokoh kepada bekas guru

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Mei – “Hari ini saya syukur dan terharu apabila anugerah yang diterima disampaikan bekas anak murid sendiri,” kata Husin Chek, 65, bekas guru kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau merupakan antara tiga penerima Anugerah Tokoh Guru di negeri ini yang diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022, di sini hari ini.

Bagi Husin, anugerah diterima merupakan penghargaan buatnya yang berkhidmat selama 38 tahun sebagai pendidik di negeri ini sebelum bersara pada 2006.

“Rasa teruja apabila anak murid menyampaikan anugerah kepada saya. Malah beliau (Sulaiman) tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada saya sewaktu menyampaikan anugerah ini tadi.

“Saya pernah mendidiknya dalam subjek Sains ketika beliau di tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Vokasional, Alor Gajah sekitar tahun 1983.

“Alhamdulillah, hasil didikan saya ada beberapa lagi tokoh yang dilahirkan termasuk wakil rakyat kini memimpin Melaka,” katanya.

HUSIN (kiri) diikuti Nubah dan Jamil yang menerima Anugerah Tokoh Guru 2022 dalam Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka

Sementara itu seorang lagi tokoh guru Nubah Aton berkata, anugerah itu terus membakar semangatnya untuk terus mendidik anak bangsa meskipun sudah bersara.

“Alhamdulillah, ini anugerah miliki Allah akhirya saya dapat sempurnakan perkhidmatan dengan berjaya.

“Bagi saya ini adalah kepuasan sebagai seorang guru dan kini terus mendidik anak-anak di sebuah sekolah tahfiz dalam bidang tilawah al-Quran,” katanya.

KESEMUA penerima anugerah bergambar bersama tetamu kehormat selepas menerima penganugerahan terbabit.

Manakala Jamil Jaamat, berkhidmat sebagai pendidik selama 39 tahun meluahkan rasa syukur atas anugerah yang diterima.

Katanya sokongan anak murid dan rakan guru menjadi nadi baginya untuk terus mencapai kejayaan serta mendidik anak bangsa.

“Ini merupakan pengiktirafan terbesar buat saya dan kenangan yang tidak akan dilupakan. Jika kita berkebun jangan hanya rajin sahaja tapi perlu usaha dengan baik.

“Rajin tanpa usaha kebun akan ditumbuhi semak, ia samalah seperti usaha seorang guru itu,” nasihatnya.

Terdahulu, ketiga-tiga tokoh itu telah dinobatkan sebagai penerima anugerah utama dalam Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka.

Ketiga-ketiga menerima sijil penghargaan, plak dan cek bernilai RM3,000 disampaikan Sulaiman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1375
Kongsi :
Previous post Hishammuddin rai atlet ATM, UPNM raih pingat Sukan SEA Hanoi
Next post UMNO Johor tidak pernah tolak Onn Hafiz sebagai MB Johor – Khaled Nordin
Ubah saiz-+=