Hospital Angkatan Tentera dinaik taraf bermula Julai ini

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

MELAKA 29 Mac – Kerja-kerja menaik taraf 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) di Kem Terendak, Sungai Udang di sini akan bermula hujung Julai ini menerusi peruntukan sebanyak RM40 juta yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 28 November lalu.

Bahagian Hal Ehwal Awam-J7, Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan media memaklumkan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang telah mengadakan lawatan kerja ke Kem Terendak di sini, hari ini dengan tumpuan di 94 HAT dan ketumbukan pasukan 10 Briged Para (10 Bgd Para).

ZAMROSE (kiri) menyerahkan sijil Sayap Penerjunan Kehormat kepada Affendi. FOTO ihsan ATM

“Bagi sesi lawatan beliau ke 94 HAT adalah bertujuan untuk melihat kemudahan serta mendapatkan perkembangan terkini rancangan kerja-kerja naik taraf yang bakal dilaksanakan oleh hospital berkenaan susulan dari sesi lawatan kerja yang telah dilaksanakan oleh Menteri Kanan Pertahanan pada 28 November lalu.

“Sepanjang lawatan di hospital berkenaan, beliau telah diberikan taklimat oleh Pegawai Memerintah 94 HAT, Brigedier Jeneral Dr Mohamed Hatta Manis dengan diiringi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan,” menurut kenyataan itu.

Affendi telah diberi taklimat berkenaan kerja-kerja naik taraf kemudahan di 94 HAT merangkumi dewan bedah, wad unit rawatan rapi (ICU), Jabatan Kecemasan, Jabatan Bekalan Steril (CSSD) dan pembinaan menara tangki air berkapasiti 450,000 gelen (2.05 juta liter), katanya.

Selain itu, penggantian dua lif penumpang, satu lif sisa klinikal dan satu lif ICU, sistem bekalan elektrik utama kompleks hospital melibatkan pembinaan pencawang elektrik baharu serta penggantian sistem janakuasa siap sedia, sistem melawan kebakaran di blok pembedahan, ICU, Dewan Bedah dan Jabatan Bekalan Steril serta sistem bekalan gas perubatan.

“Projek-projek ini juga berada di peringkat penilaian teknikal tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka akan bermula pada penghujung Julai nanti selain peruntukan tersebut adalah bagi menampung keperluan semasa hospital berkenaan dalam menyediakan kemudahan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran dan juga komuniti setempat yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.

AFFENDI merakam gambar bersama pegawai dan anggota 10 Bgd Para. Foto Ihsan ATM.

Dalam pada itu, bagi program lawatan kerja di 10 Bgd Para adalah bertujuan untuk melihat keupayaan atur gerak briged berkenaan sebagai salah satu elemen dalam Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) ATM di samping mendapatkan perkembangan pembangunan ketumbukan berkenaan dalam semua perkara terutama aspek kesiagaan.

Affendi juga telah dipertontonkan dengan demonstrasi keupayaan tempur 10 Bgd Para seperti Penerjunan Bebas, Pertunjukan Tempur Tanpa Senjata, ‘Tactical Combat and Casualty Care’ (TCCC), Renang Tempur, Latihan Menara, ‘Sniper Insertion’, Tembakan Artileri Medan dan Pertahanan Udara, Serangan Seksyen sebelum diakhiri dengan ‘Human Wave’ ketumbukan ‘Leading Parachute Battle Group’ (LPBG).

Beliau turut dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2082
Kongsi :
Previous post Apa hal beberapa menteri dari UMNO jumpa Muhyiddin?
Next post Polis Melaka bakal terima 31 pacuan empat roda
Ubah saiz-+=