Hotel Temasek cipta kelainan perkenal bufet Ramadan berkonsepkan kenduri kahwin

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

TELOK MAS 9 April – Jika bufet ramadan di hotel selalunya dikaitkan dengan elemen persekitaran mewah dan eksklusif, namun berbeza bagi Hotel Temasek yang menggamit pengunjung mengimbau kembali musim kenduri kahwin.

Dengan menawarkan harga pakej serendah RM43.90 bagi dewasa, pengunjung dapat menikmati kira-kira 50 makanan warisan sambil dihiburkan oleh iringan muzik dan persembahan nyanyian tradisional Melayu.

Pemilik Selera Warisan D’Temasek, Mohamad Suhaimie Sujojo, 35 tahun berkata, konsep yang diketengahkan itu sedikit berbeza kerana dia yang juga pengusaha katering sebelum ini mendapat banyak permintaan daripada pelanggan untuk mengekalkan hidangan yang sinonim di majlis keramaian dan perkahwinan pada bulan Ramadan.

“Keistimewaannya adalah pada keenakan makanan yang kami sajikan untuk pelanggan sebab ramai yang sudah mengenali kami dalam bidang katering sebelum ini.

“Menu yang kita sajikan pula bertukar setiap hari. Contohnya kita ada nasi beriani, daging dendeng, sambal udang, ayam masak lemon, sate, masak lemak nenas kurau tapi yang paling istimewa adalah kambing golek.

“Harga pula memang berpatutan dan kita ada promosi sehingga 10 April ini hanya RM43.90 bagi dewasa, RM31.90 bagi kanak-kanak dan untuk warga emas RM31.90 sahaja.

“Jika tiada promosi harganya RM54.90, warga emas dan kanak-kanak RM 39.90,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

MOHAMAD Suhaimie

Menurutnya lagi, konsep bufet ala-ala kenduri kahwin itu adalah unik sempena meraikan pembukaan sempadan pada 1 April lalu dan seterusnya mempromosikan kebudayaan negeri ini.

“Selain kita ada persembahan tradisional, kita juga sediakan pelamin untuk pelanggan datang bergambar dengan Baju Kebangsaan, macam kita pergi kendurilah.

“Insya-Allah selepas ini kita akan bawakan persembahan ghazal, kompang dan sebagainya dan saya rasa inilah masa tepat untuk tarik orang luar Melaka dan Singapura untuk datang,” katanya.

Sementara itu, rakan Pengurusnya, Zahid Salim, 33 tahun menyasarkan pihaknya mampu mencapai kapasiti penuh pelanggan di hotel Temasek itu iaitu seramai 300 pelanggan pada satu-satu masa.

“Jangan ragu-ragu untuk datang menikmati pakej kami di hotel Temasek ini sebab saya janji anda akan terubat rindu dengan masakan ibu apabila datang berbuka puasa di sini sehingga 29 Ramadan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1501
Kongsi :
Previous post Will Smith dilarang hadiri Oscar selama 10 tahun
Next post Gaji pemain Melaka United langsai, CEO nafi bayaran ‘sangkut’ tiga bulan
Ubah saiz-+=