Gaji pemain Melaka United langsai, CEO nafi bayaran ‘sangkut’ tiga bulan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MELAKA 9 April – Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) Datuk Seri Justin Lim menafikan dakwaan gaji pemain tertunggak selama tiga bulan.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Justin sebaliknya berkata, bayaran gaji tertunggak hanyalah sebulan dan telah dilangsaikan malam tadi.

“Bukan tiga bulan tetapi satu bulan sahaja dan tunggakan tersebut telah dijelaskan kepada pemain pada perjumpaan saya bersama mereka malam tadi,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Malam tadi, Justin telah mengadakan pertemuan dengan pemain dan pengurusan Melaka United di Kuala Lumpur menjelang sepak mula Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC malam ini.

Mengulas lanjut, beliau turut memberi peringatan kepada pemain dan pengurusan agar tidak mengeluarkan kenyataan palsu yang boleh mencemar imej kelab.

“Sudah setahun saya bina Melaka United FC, tidak mungkin saya ingin musnahkan apa yang telah dibina bersama musim lalu, banyak wang, masa dan tenaga telah dicurahkan untuk memastikan MUFC kembali bersaing dalam Liga Malaysia.

“Saya telah nyatakan kepada pemain mahupun pengurusan mereka bakal berdepan hukuman seandainya mengeluarkan kenyataan palsu yang memberi kesan kepada kelab,” katanya.

Selasa lalu, pengendali Melaka United Risto Vidakovic mendakwa faktor tunggakan gaji menjadi antara punca aksi longlai ditampilkan pemain selepas tewas 0-1 di tangan Sabah FC di Stadium Hang Jebat.

Katanya, berdasarkan maklumat pemain, ada di antara mereka tidak menerima gaji dua hingga tiga bulan sehingga menyebabkan moral pemain terkesan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1355
Kongsi :
Previous post Hotel Temasek cipta kelainan perkenal bufet Ramadan berkonsepkan kenduri kahwin
Next post Belum Aidiladha, tapak sembelihan korban sudah disiapkan
Ubah saiz-+=