Hotel ‘ternak’ jentik-jentik, kotor

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 17 Mac – Sebanyak lapan hotel di negeri ini dikesan tidak menjaga kebersihan persekitaran sehingga premis itu menjadi sarang pembiakan jentik-jentik.

Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman berkata, kesalahan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975) itu merupakan antara yang dikesan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka pada 15 hingga 16 Mac.

Selain itu, menurutnya, pemeriksaan menjelang Ramadan itu turut mengesan dua buah restoran hotel yang kotor termasuk terdapat najis tikus.

Justeru, katanya, kedua-dua restoran hotel itu diarah tutup sementara oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Unit Inspektorat dan Perundangan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi kerja-kerja pembersihan.

“Selain itu, bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 sebanyak 46 kompaun kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai RM18,750.

“JKN Melaka turut mengeluarkan 17 kompaun kesalahan bernilai RM4,250 bagi kesalahan tidak memasang papan tanda larangan merokok mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004,” katanya.

Menurut Dr. Rusdi, menerusi operasi selama dua hari itu, sebanyak 44 hotel di negeri ini telah diperiksa.

Katanya, JKN Melaka sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan dan kebersihan premis pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau membuat aduan melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1821
Kongsi :
Previous post Skuad bencana Melaka prihatin nasib mangsa banjir Johor
Next post Dah tak perlu tunggu lama nak hantar WhatsApp
Ubah saiz-+=