i-Sinar: Sanggup beratur dari pagi demi kelangsungan hidup

Masa Membaca:2 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 21 Dis. – Bangunan KWSP di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini, mula menjadi tumpuan orang ramai, susulan pengeluaran akaun 1 KWSP melaui sistem i-Sinar KWSP dibuka bermula hari ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati orang ramai sudah mula beratur sejak awal pagi bagi tujuan berkenaan dan suasana itu berlarutan sehingga ke tengah hari.

Seorang suri rumah Siti Rusniza, 45 yang ditemui MHI di perkarangan bangunan itu menzahirkan harapan agar permohonannya untuk mengeluarkan akaun 1 KWSP itu diluluskan memandangkan keluarganya kini terkesan dek pandemik COVID-19.

Ujarnya, sepanjang tahun ini, pendapatannya sekeluarga boleh dianggap terjejas memandangkan suaminya yang bekerja di sebuah kilang tidak lagi menerima elaun, sebaliknya hanya bergantung kepada gaji ‘basic’ sahaja.

FOTO MR. Azli

“Bagi akak RM10,000 itu sudah cukup sangat untuk waktu-waktu susah seperti ini. Perancangan akak untuk simpan duit yang ada ini.

“Sebab anak-anak masih bersekolah, banyak yang nak digunakan bila masuk sekolah nanti. Jadi, sedikit daripada wang itu akan dibelanjakan dan separuh lagi akan disimpan untuk waktu-waktu terdesak nanti.

“Apa pun, terima kasih kepada kerajaan kerana beri peluang kita keluarkan wang simpanan sendiri. Saya berharap semua yang mengeluarkannya nanti berbelanja secara berhemah,” katanya.

Bagi A. Laskhmanan, 48, dia sanggup beratur sejak pagi dengan tujuan dapat mengeluarkan wang simpanan itu untuk melangsaikan hutang memandangkan dia kini dihimpit kesempitan hidup.

“Gembira sangat, boleh saya selesaikan hutang-hutang saya. Memang sangat terjejas. Anak dua orang kerja, seorang dah tak ada kerja. Lagi pun sekarang saya sakit dan tak boleh nak keluar bekerja seperti dahulu,” katanya.

FOTO MR.Azli

Turut senada ialah Khairul Anuar, 30 yang turut berhasrat menggunakan wang KWSP untuk melangsaikan hutang dan menampung perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.

Ujarnya, andai dapat mengeluarkan RM5,000 sekali pun dia sudah cukup bersyukur memandangkan pendapatannya kini terjejas sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Saya datang dari jam 9 pagi tadi. Niat saya memohon i-Sinar adalah untuk melangsaikan hutang dan menampung belanja anak-anak sekolah. Boleh dikatakan sepanjang COVID-19 memang pendapatan keluarga kami terjejas.

“Jadi, melalui i-Sinar ini sedikit sebanyak saya bersyukurlah dapat juga bernafas sedikit dengan mengeluarkan duit simpanan KWSP, duit penat lelah saya bekerja sejak berumur 18 tahun,” katanya.

Sementara itu, bagi Jamsari Ibrahim, 47, dia menyifatkan pengeluaran i-Sinar dapat memberi manfaat kepada ramai orang untuk bertahan dalam situasi sukar sepanjang pandemik COVID-19.

Dia yang sudah mencarum KWSP sejak 20 tahun lalu merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang sudi mendengar keluh-kesah rakyat, khususnya bagi membantu mereka yang hilang sumber pendapatan.

“Memang terima kasih banyaklah. Bagi saya tak rugi pun keluarkan duit KWSP sebab kalau kita banyak duit pun, kita pasti akan mati.

“Saya tak nak lepas saya meninggal, anak-anak dan adik-beradik guna duit kita ke jalan yang tidak elok. Jadi, lebih baik saya keluarkan dan jika wang tersebut boleh membantu orang lain, saya akan berusaha membantu sedaya yang mampu,” ujarnya.

Views:

791
Kongsi :
Previous post Kerajaan giat pastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik – PM
Next post Kerosakan enjin feri punca kesesakan Terminal Feri Penumpang Kuah
Ubah saiz-+=