Kerosakan enjin feri punca kesesakan Terminal Feri Penumpang Kuah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

MELAKA 21 Dis. – Kesesakan yang berlaku di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi berpunca daripada kerosakan feri yang terpaksa menurunkan penumpang sebelum digantikan dengan feri lain, semalam.

Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan berkata, pejabat laut sistem maklumat dan pemantauan trafik perkapalan (VTMIS) Pejabat Laut Kuala Kedah melaporkan feri Langkawi Ferry 2 bergerak perlahan pada kedudukan dua batu nautika dari terminal berkenaan.

Menurut kenyataan itu, feri yang dijadualkan perjalanan pada jam 3.30 petang itu membawa penumpang seramai 111 orang dan mengalami kerosakan pada salah satu enjin yang menyebabkan pengangkutan air itu bergerak menggunakan satu enjin sahaja.

“Kejadian itu mengakibatkan kesesakan di terminal terbabit yang mana penumpang pada waktu perjalanan 5.30 petang menunggu Langkawi Ferry 2 tiba untuk meneruskan perjalanan ke Termina Feri Penumpang Kuala Perlis.

“Berikutan itu, operator feri mengarahkan feri Langkawi Ekspress 1 untuk menggantikan perjalanan Langkawi Ferry 2 dengan membawa 271 penumpang manakala selebihnya seramai 67 penumpang menaiki feri Marine Star II pada perjalanan jam 6.30 petang bagi meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata susulan kejadian itu, pasukan penyiasat JLM Wilayah Utara ditubuhkan bagi menyiasat insiden berkenaan.

“Pasukan berkenaan turut menjalankan pemeriksaan bersama Badan Klasifikasi dan Pemeriksa Kapal JLM terhadap feri terbabit sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya.

JLM menerusi kenyataan itu juga berkata, JLM sentiasa memantau pergerakan feri di laluan berkenaan dan berdasarkan maklumat terkini diterima, semua penumpang yang terlibat selamat tiba ke destinasi dituju.

Views:

2067
Kongsi :
Previous post i-Sinar: Sanggup beratur dari pagi demi kelangsungan hidup
Next post COVID-19: PKPD di Pusat Koreksional Jasin bermula esok
Ubah saiz-+=