Ibu bapa tolak permainan lato-lato
AYER KEROH 2 Februari – Rata-rata ibu bapa tidak menggalakkan permainan lato-lato dalam kalangan anak mereka kerana dikhuatiri mampu mendatangkan kecederaan.
Meskipun ada yang menganggap lato-lato sekadar alat permainan namun ia mencetuskan fenomena dalam kalangan kanak-kanak.
Bagaimanapun, ia juga mampu mendatangkan kecederaan kepada si pemain.
Seorang ibu Rohizah Bakar,46, menasihatkan kepada ibu bapa supaya tidak sesekali menggalakkan anak-anak dengan membeli permainan lato-lato itu kerana ianya tidak memberikan faedah.
“Nasihat saya penjual juga tidak perlu menjual permainan ini, dengan harga RM10 pelbagai benda berfaedah boleh dibelikan untuk anak-anak, ibu bapa tak perlu belikan untuk anak-anak sebab ia merbahaya.
“Jika dilihat bentuknya mungkin tidak nampak bahaya, tetapi jika tidak perasan apabila terlalu asyik bermain mungkin boleh mendatangkan kecederaan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.
Manakala seorang bapa Zakaria Basiron,52, berkata permainan itu juga tidak digalakkan untuk dibawa ke sekolah kerana ia boleh membuatkan murid-murid leka tentang pelajaran.
“Saya baru pertama kali lihat permainan ini, fizikalnya yang keras boleh mendatangkan bahaya kepada anak-anak jika terkena kepala, sebab itu kita tidak sarankan ia dibawa ke sekolah.
“Saya lihat ada anak-anak bawah umur lima tahun main lato-lato ini, ini sangat tidak digalakkan kerana mereka sendiri masih belum faham permainan tersebut, jadi benda yang tiada kepentingan tidak perlu lah kita beli dan bagi anak-anak,” katanya.
Sementara itu, warga pendidik Mohd Yazid Mohd Amir, 52, menegaskan para guru sentiasa membuat pemeriksaan terhadap murid-murid yang hadir ke sekolah supaya tidak membawa permainan tersebut.
“Saya berkhidmat sebagai pendidik sudah 26 tahun, pandangan saya permainan ini tidak sesuai dibawa ke sekolah atas faktor keselamatan, bukan sahaja menggangu pelajaran malah mendatangkan bahaya kepada murid-murid.
“Perkara boleh mendatangkan kecederaan di kawasan sekolah memang kita ambil berat supaya sekolah menjadi kawasan yang selamat dan ada peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.