Ibu, isteri kekuatan saya – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MASJID TANAH 8 Nov – “Selain isteri, ibu adalah sumber kekuatan bagi diri saya bagi mengurus dan mentadbir negeri Melaka tercinta itu,” itu luahan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Sulaiman yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Lendu berkongsi perasaan itu menerusi hantaran Facebook peribadi miliknya sebaik selesai menyerahkan borang penamaan calon di Dewan Kompleks Japerun Lendu.

Beliau menyerahkan borang berkenaan pada jam 9 pagi tadi diiringi Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum memasuki ke perkarangan dewan bersama pencadang dan penyokongnya.

Sulaiman berkata, sebaik selesai penyerahan borang berkenaan, beliau singgah ke rumah ibunya di Kampung Durian Daun, Lendu bagi mendapatkan restu untuk berjuang mendapatkan mandat rakyat bagi memenangi kerusi itu.

“Sebaik selesai menyerahkan borang penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Lendu, pagi tadi, saya singgah ke rumah ibunda tercinta, Hajah Temah Hj Abu di Kampung Durian Daun, Lendu.

“Selain isteri, Datin Seri Utama Datuk Wira Hajah Munira M. Yusop, ibu adalah sumber kekuatan bagi diri saya bagi mengurus dan mentadbir negeri Melaka tercinta ini.

“Bak kata orang, ambil berkat untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 ini nanti!” tulisnya.

Sulaiman mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada PRU14, Sulaiman yang mewakili BN menang majoriti 627 menewaskan Ir Ridhuan Dion Bakar daripada Pakatan Harapan (PH) dan Cikgu Arshad (PAS).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2139
Kongsi :
Previous post Media arus perdana diminta bantu calon bertanding
Next post PN tawar manifesto berteraskan ‘Melaka Prihatin’
Ubah saiz-+=