PN tawar manifesto berteraskan ‘Melaka Prihatin’

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

ALAI 8 Nov- Perikatan Nasional (PH) menawarkan manifesto berteraskan ‘Melaka Prihatin’ yang turut merangkumi pelan pemulihan banjir secara komprehensif di Melaka.

Pengerusi PN Negeri, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, manifesto itu akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Dalam manifesto berteraskan Melaka Prihatin kita akan menawarkan pelan pemulihan komprehensif berkaitan masalah banjir di Melaka yang merupakan masalah yang agak lama (sejak) berkurun lama selain (masalah) pengurusan air, di mana Melaka menghadapi masalah yang sebelum ini kita terpaksa mencatu air.

“Jadi masalah air, banjir antara tumpuan selain dari isu-isu lain termasuk untuk masyarakat India, kita beri komitmen bahawa permintaan masyarakat India itu adalah dengan mendapatkan tanah untuk dijadikan rumah abu mayat ini.

“Hal ini sudah agak lama tidak dapat diselesaikan, jadi ini antara permintaan yang tidak dapat dilaksanakan (sebelum ini),” katanya yang ditemui di Bilik Gerakan PN di Alai, 8 Nov lalu.

Mohd Rafiq yang merupakan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas turut memaklumkan pihaknya akan turut memberi tumpuan terhadap sektor ekonomi.

Katanya, hal ini penting selepas pandemik COVID-19, ekonomi rakyat khususnya di negeri ini cukup terjejas.

“Jadi, sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan Melaka, kita akan mendapatkan khidmat atau bekerjasama rapat dengan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi kesihatan, pelancongan dan juga pendidikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

511
Kongsi :
Previous post Ibu, isteri kekuatan saya – Sulaiman
Next post Anggota polis cedera bergelut dengan penjenayah
Ubah saiz-+=