Ibu tunggal, dua anak berpanas kutip kotak demi sesuap nasi

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

KESIDANG 17 April – Seorang ibu tunggal bersama dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun sanggup mengharungi cuaca panas serta menahan lapar dahaga mengutip kotak dan besi demi sesuap nasi.

Umi Nur Faizah Ali Halimi, 39, serta dua anaknya, Umie Nur Arina Aufa, 9, Umie Nur Nimrah, 7, terpaksa menanggung kepayahan hidup selepas ketiadaan tempat mereka bergantung, Muhamad Yusni Yusuf yang meninggal dunia tahun lalu.

Umi Nur Faizah sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah RM40 sehari namun disebabkan PKP serta bulan Ramadan, maka kedai tidak beroperasi sekali gus dia hilang pendapatan.

“Saya mula keluar mengutip kotak, besi dan plastik di sekitar rumah dan Malim sejak suami mula sakit lima tahun lalu, dalam sehari dapatlah RM20.

“Kalau barang dapat kumpul banyak, bolehlah dapat lebih sehingga RM50 lebih, bila cuti hujung minggu walau berpuasa, dua anak saya akan ikut sekali membantu saya mengutip kotak.

“Dua anak lagi anak saya, Umi Emelda, 15, dan Umi Umayrah, 13, saya hantar ke sekolah madrasah di Alor Gajah agar terurus sedikit pembelajaran mereka,” katanya.

UMI Nur Faizah menunjukkan hasil kutipan menjual kotak dan besi berjumlah RM63 dari sebuah kedai kitar semula dekat Malim. Jumlah itu adalah yang terbanyak diperolehinya hasil menjual bahan buangan itu kerana kebiasaanya dia hanya peroleh sekitar RM20 sehari.

Umi Nur Faizah ketika ditemui di rumah sewanya dekat Balai Panjang, Malim berkata, dia hampir putus asa untuk meneruskan kehidupan setelah kematian suami dan keseorangan diri tanpa keluarga yang jauh ditinggalkan di Wilayah Jawa, Sumatera, merantau ke Malaysia pada usia 19 tahun.

Katanya, kasihan melihat nasib anak-anak yang terbiar tanpa perhatian, dia kuatkan diri dan semangat untuk menyambung hidup sekali gus membela nasib anak-anak.

“Dengan basikal sumbangan orang ramai, saya akan selongkar tempat buangan sampah untuk mencari kotak dan besi selepas menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam.

“Selepas hantar anak dengan basikal kira-kira sejauh 8 kilometer, saya akan ke Malim, Banchang dan sekitarnya untuk mencari rezeki demi menyara anak-anak,” katanya.

DITEMUI Melaka Hari Ini di kediamannya di Balai Panjang.

Mujur menurut beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil membantu menghulur bantuan bulanan berjumlah RM650 yang mana separuh daripadanya dalam bentuk barangan dapur.

“Cuma sekarang saya buntu untuk mendapatkan bayaran pampasan Perkeso memandangkan arwah suami sewaktu bekerja sebagai pengawal keselamatan ada membuat caruman.

“Namun, pihak Perkeso ada beritahu suami tidak layak mendapat elaun persaraan kerana baharu mencarum,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1107
Kongsi :
Previous post Tiket penerbangan mahal: Jangan ambil kesempatan musim perayaan – PM
Next post Melaka jadi negeri pertama penganjuran Festival Riuh
Ubah saiz-+=