Melaka jadi negeri pertama penganjuran Festival Riuh

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 April – Melaka dipilih menjadi lokasi pertama di negara ini bagi penganjuran Festival Riuh pada tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, festival berprestij itu akan diadakan bagi menggabungkan produk usahawan, produk orang kampung, pemasaran industri kreatif serta pelbagai lagi.

Beliau berkata, program bersifat serampang dua mata itu diadakan bagi mempromosikan tiga elemen berkenaan dengan tema karakter dari negeri masing masing.

“Kita memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk laksanakan festival ini di setiap negeri di negara ini dengan jangkaan dua festival diadakan dalam sebulan.

“Festival ini pernah diadakan sebelum ini di Johor namun ia diadakan secara kecil-kecilan dan kita menyasarkan ia akan diperluas di seluruh negara sepanjang tahun di mana setiap negeri akan membawa karakter masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri selepas Majlis Iftar bersama MenKOMM di Hotel Doubletree di sini hari ini.

Pada masa sama, ujarnya dalam pelaksanaan program berkenaan beliau menyeru semua pengendali telekomunikasi di negara ini dijadikan sebagai penaja utama sepanjang penganjuran program berkenaan.

“Kita mahu syarikat telco menjadi penaja utama di mana di setiap negeri terlibat satu syarikat akan menjadi penaja utamanya dengan bergilir ke negeri negeri lain.

“Ini akan memberi satu kesinambungan kepada elemen jaringan yang menjadi penghubung kepada perkhidmatan jalur lebar yang perlu bergerak seiring di negara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1040
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal, dua anak berpanas kutip kotak demi sesuap nasi
Next post Penganjur bazar Jalan Hang Tuah nafi berkomplot kenakan caj tiket parkir
Ubah saiz-+=