Ibu tunggal, dua anak gadis dicekup bersama dua lelaki

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

JASIN 11 Februari – Mengaku saudara jauh antara alasan diberikan selepas ibu tunggal dan dua anak perempuannya dicekup berkhalwat bersama dua lelaki di sebuah rumah di Lipat Kajang, di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata wanita yang bekerja di sebuah syarikat kontraktor berusia 49 tahun bersama dua anaknya masing-masing berusia 19 dan 20 tahun ditahan sepasukan anggota penguatkuasa JAIM.

Katanya, ketika serbuan yang dijalankan hasil aduan orang awam pada jam 12.30 malam tadi itu, tiga beranak berkenaan mengambil masa kira-kira 15 jam untuk membuka pintu.

“Sebaik pintu dibuka, penguat kuasa menemukan dua lelaki tempatan dalam rumah berkenaan dan hasil soal siasat mendapati mereka tiada hubungan mahram.

“Bagaimanapun dua lelaki itu mendakwa adalah saudara jauh tiga beranak terbabit dan dibenarkan ibu tunggal itu untuk tinggal bersama di rumah itu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kelima-lima individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman mendatangkan syak.

Jelasnya, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Serbuan itu adalah kejayaan hasil kerjasama orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.

“Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2231
Kongsi :
Previous post Tiada rancangan mansuh subsidi minyak petrol, diesel setakat ini – Salahuddin
Next post Melaka sokong sesi persekolahan 8 pagi, perlu ada kajian terperinci
Ubah saiz-+=