Melaka sokong sesi persekolahan 8 pagi, perlu ada kajian terperinci

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KLEBANG 11 Februari – Kerajaan Negeri menyokong cadangan sekiranya sesi persekolahan dianjakkan kepada jam 8 pagi.

Bagaimanapun, Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi, Datuk Rais Yasin berkata, pelaksanaan terbabit perlu ada kajian terperinci oleh pihak Kementerian Pendidikan bagi memastikan keputusan bukan bersifat sela-menyela (flip-flop).

Katanya, selaku Exco yang memegang portfolio pendidikan negeri, beliau menyokong apa jua usaha dilakukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan melaksanakan perbincangan bersama dengan ibu bapa.

“Kalau betul hendak laksanakan perkara itu kepada pukul 8 mesti pastikan kajian telah dibuat.

“Setakat ini kita belum menerima apa-apa maklum balas daripada JPN kerana difahamkan ini adalah satu cadangan jadi ia perlu dibawa ke peringkat kementerian untuk dikaji dahulu.

“Pada saya, saya sedikit cenderung kepada menyokong perkara ini kerana melihat dalam keadaan sekarang contohnya banyak kawasan terlibat dengan kesesakan lalu lintas yang begitu teruk membuatkan ibu bapa terperangkap dalam kesesakan mengakibatkan anak mereka lewat untuk hadir ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Bantuan Awal Persekolahan Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat.

Beliau menambah, Melaka akan menyambut perkara itu sekiranya ada keputusan tuntas dan akan menilai semula bagi memastikan cadangan kerajaan itu membawa manfaat kepada ibu bapa dan pelajar sekolah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1373
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal, dua anak gadis dicekup bersama dua lelaki
Next post 21 keluarga pengamal media Melaka terima bantuan awal persekolahan
Ubah saiz-+=