Ibu tunggal hiba kenang kesusahan hidup

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

MELAKA 21 April – Satu ketika dulu Dizi Yarna Muhammad gembira menjalani kehidupan serba mencukupi bersama suami dan lima anaknya di Bukit Rambai.

Namun segalanya berubah sekelip mata apabila suami tempat dia dan anak-anak bergantung hidup mengambil keputusan untuk berpisah dengannya.

Sudahlah hilang tempat bergantung, Yarna, 43, mengalami kemalangan sehingga menjejaskan keupayaan diri untuk mencari nafkah bagi menampung kehidupan bersama anak berusia tujuh hingga 11 tahun.

IBU tunggal lima anak dari Bukit Beruang bergambar bersama Proton Saga yang diterima percuma atas inisiatif Pak Ngah dan keluarganya.

“Sebelum ini saya menjual nasi lemak dan mendapat hasil jualan kira-kira RM1,000 sebulan, dan ditambah nafkah yang diberi oleh bekas suami, maka cukuplah menampung kehidupan baharu saya dan anak-anak.

“Tetapi sejak kemalangan Mac lalu, saya kerap sakit pinggang dan lebih menghimpit, kereta yang digunakan untuk berniaga nasi lemak rosak sepenuhnya dalam kemalangan.

“Sejak itu, saya tidak dapat berniaga dan menghantar empat anak ke sekolah,” katanya sambil memberitahu anak sulung berusia 22 tahun baru bekerja di Johor.

Menurut Yarna, setelah bercerai dia dan empat anaknya itu berpindah ke Bukit Beruang dan disebabkan ketiadaan kereta, dia terpaksa menghantar anaknya ke sekolah dengan berjalan kaki sejauh kira-kira 250 meter di Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang.

Katanya, lebih perit apabila anak perempuannya yang berusia 11 tahun secara tiba-tiba diserang penyakit saraf dan bergantung kepada bekalan ubat tambahan dengan kos RM200 setiap kali menjalani pemeriksaan di Hospital Melaka.

“Rumah yang kami tinggal sekarang ini pun menumpang rumah ‘homestay’ milik adik dan setidak-tidaknya saya perlu membayar sewa, takkan duduk percuma.

“Ketika ini, saya amat memerlukan kereta bagi membolehkan saya berniaga semula demi meneruskan kelangsungan hidup saya dan anak-anak,” katanya.

PAK Ngah atau Shikh Muhammad baru memulakan projek menderma kereta terpakai buat golongan memerlukan.

Sementara itu, prihatin dengan nasib ibu tunggal itu, Pak Ngah yang sinonim dengan gelaran Ustaz Ebit Lew Melaka tampil menderma kereta Proton Iswara yang disumbangkan rakannya dari Durian Tunggal.

Pak Ngah atau Shikh Muhammad Makhdad Haron, 48, berkata, dia baharu memulakan projek menderma kereta terpakai buat golongan memerlukan dan kereta Iswara itu diperolehi bulan lalu.

“Asalnya rakan ingin menjual kereta itu RM2,000 tetapi tidak jadi dan memberikan secara percuma apabila mengetahui kereta itu untuk didermakan.

“Selain Yarna, ada 10 pemohon lain yang mahu sumbangan kereta itu tetapi setelah memeriksa kehidupan Yarna ternyata dia lebih memerlukan kerana dia ada anak yang sakit serta menanggung anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

859
Kongsi :
Previous post MPJ kongsi rezeki dengan golongan memerlukan
Next post Gadis 14 tahun, Geng Apir curi motosikal tumpas
Ubah saiz-+=