MPJ kongsi rezeki dengan golongan memerlukan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

JASIN 21 April. – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menghulurkan sumbangan berupa pakaian dan barangan keperluan harian buat anggota masyarakat kurang berkemampuan khususnya di daerah ini menerusi Program Kongsi Rezeki Ramadan 2021 selama empat hari bermula Selalu lalu.

Yang Dipertua MPJ Datin Sapiah Haron berkata, inisiatif membantu rakyat khususnya golongan yang memerlukan, sentiasa menjadi agenda utama MPJ lebih-lebih lagi ketika Ramadan yang mulia ini.

Katanya, ia selari dengan slogan ‘MPJ Prihatin Di Hatiku’ yang menjadi elemen di dalam setiap urusan serta perkhidmatan yang diberikan warga kerjanya.

KAKITANGAN MPJ membantu orang ramai yang hadir untuk mendapatkan barangan keperluan harian yang disediakan secara percuma.

“Program Kongsi Rezeki Ramadan 2021 ini menyasarkan golongan kurang berkemampuan, berpendapatan rendah, fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Inisiatif dilaksanakan MPJ ini bagi menceriakan penerima sumbangan untuk menyambut Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sapiah berkata, program anjuran bersama Kelab Rekreasi Dan Kebajikan (KLIK) MPJ, Anulae Cawangan Jasin dan MPJ itu satu daripada aktiviti tahunan yang dijalankan secara berkala.

ORANG ramai memilih pakaian percuma pada Program Kongsi Rezeki Ramadan 2021 anjuran bersama Kelab Rekreasi Dan Kebajikan MPJ, Anulae Cawangan Jasin dan MPJ.

Menurutnya, program berlangsung selama empat hari bermula Selasa lalu hingga Jumaat ini di pekarangan tempat letak kereta MPJ.

“Mereka yang kurang berkemampuan khususnya di Daerah Jasin amat dialu-alukan hadir untuk mengambil pakaian serta barangan keperluan harian yang sedia ada.

“Justeru itu, diharapkan program khidmat masyarakat itu sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan sekali gus menceriakan mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

878
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak 3 tahun positif dadah disyaki angkara bapa tiri
Next post Ibu tunggal hiba kenang kesusahan hidup
Ubah saiz-+=