IC, Revenue Monster meterai bersama tiga persatuan, kenal pasti siswazah berpotensi dalam bidang teknologi digital

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Infinity Channel Sdn Bhd (IC) dan rakan kongsinya Revenue Monster Sdn Bhd (RM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga persatuan bagi mengenal pasti siswazah dan tenaga kerja berpotensi dalam bidang teknologi digital dan internet pelbagai benda (IoT).

Tiga persatuan tersebut ialah Persatuan OKU Sentral, Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia dan Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK).

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata kerjasama yang dijalinkan untuk Program Young Tech Talent itu, memfokuskan kepada peningkatan kemahiran dalam bidang teknologi iaitu pengaturcaraan dan pengekodan yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran kerja masa kini.

Beliau berkata langkah awal melibatkan proses pemilihan seramai 30 lulusan Sains Komputer untuk diambil bekerja, selain akan turut diberikan latihan kerja dalam bidang berkenaan untuk meningkatkan kebolehpasaran peserta.

“30 peserta yang terpilih akan menjalani latihan dan terus bekerja selama minimum setahun dan akan berpangkalan di iSpace Porto Historia, Melaka,” katanya ketika merasmikan program itu di sini hari ini.

Khaidhirah yang juga penaung Young Tech Talent berkata program tersebut akan dapat membantu mengurangkan masalah penganguran dalam kalangan belia.

Katanya program itu menyasarkan 100 orang untuk diambil sebagai pekerja tetap dengan gaji pokok antara RM2,100 hingga RM3,000 sebulan ditawarkan bagi siswazah.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi ketika ditemui pada majlis sama berkata beliau akan memastikan kumpulan sasaran di bawah kelolaan pihaknya mendapat maklumat dan pendedahan terperinci supaya mereka boleh mengikuti program itu.

“Saya berbesar hati kerana ketika mereka menggubal dan mengolah program ini mereka tidak melupakan kami, untuk itu saya mengucapkan terima kasih, kita boleh lihat sangat ramai Orang Kurang Upaya di Melaka yang memerlukan sokongan untuk meningkatkan kemahiran diri mereka.

“Kita nak sediakan mereka untuk masa depan, jadi program ini akan dapat memberi manfaat kepada mereka dengan membuka ruang yang besar untuk mereka bekerja dalam bidang ini,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1048
Kongsi :
Previous post MBMB calonkan dua tandas bertanding ASEAN Tourism Awards 2022
Next post Mayat lelaki OKU ditemukan di tepi sungai
Ubah saiz-+=