ICQS tenang, tidak semeriah sebelum pandemik COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

KOTA LAKSAMANA 21 Jun- Meskipun pelancong dari Dumai dan Bengkalis, Indonesia sudah mula berkunjung ke Melaka melalui Kompleks Imigresen, Kuarantin, dan Keselamatan (ICQS) Melaka, namun keadaan itu tidak semeriah sebelum pandemik COVID-19 melanda.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di kompleks itu mendapati walaupun terdapat pelancong yang baru tiba dari kedua-dua lokasi itu namun ianya dalam bilangan yang tidak ramai malah muatan feri juga tidak penuh.

Menurut ejen tiket feri dikenali sebagai Tang berkata, jadual perjalanan feri dari Bengkalis ke Melaka dan Melaka ke Bengkalis masih mendapat sambutan namun bukan dalam skala besar.

“Tiket memang terjual tetapi apa yang kita tengok agak kurang berbanding sebelum pandemik, tidak ramai yang datang atau hendak ke Bengkalis, mungkin mereka masih berurusan dengan passport atau Jabatan Imigresen.

“Bagi feri MV Mulia Kencana 19 jadual perjalanan empat hari seminggu iaitu Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad. Kita harap akan ramai lagi pelancong Indonesia akan masuk melalui ICQS ini seperti ini,” katanya.

MADAM Tang. Foto Iqmal Haqim Rosman

Bagi pelancong dari Bengkalis Emanah Pardwan, 50, berkata, selepas tertangguh untuk ke Melaka bagi mendapat rawatan, akhirnya hasratnya itu kesampaian apabila selamat tiba di Melaka hari ini.

“Sebelum ini saya kerap datang ke Melaka bagi mendapatkan rawatan mata di hospital, akibat pandemik terpaksa tangguhkan sementara dan apabila diberikan tarikh temu janji, saya dan anak berangkat ke sini.

“Syukur apabila sudah dapat rentas sempadan kerana di Melaka ini banyak kemudahan, selain menerima rawatan kami dapat berjalan ke kawasan tumpuan lain sambil menikmati masakan yang sedap,” katanya.

Rika Seniwati Pawadi Foto Iqmal Haqim Rosman

Seorang lagi pelancong dari Bengkalis, Rika Seniwati Pawadi, 21, berkata, dia tiba di Melaka pada 16 Jun sebelum ke rumah ibu saudaranya di Muar, Johor untuk bercuti sebelum terpaksa berangkat balik hari ini selepas dibenarkan masuk ke negara ini selamat tujuh hari.

“Percutian saya ke Malaysia kali ini gembira bercampur terkilan kerana hanya dibenarkan selama tujuh hari sahaja. Saya ingatkan selepas pandemik dapat meluangkan masa lebih lama di sini tetapi hanya diluluskan dalam tempoh yang singkat.

“Kebiasaan sebelum ini saya akan masuk selama 28 hingga 30 hari, walaupun begitu saya tetap gembira kerana dibenarkan masuk dan bercuti di sini selain dapat berjumpa keluarga terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1486
Kongsi :
Previous post Angkara ceroboh rumah jiran, Molly mati ditembak
Next post Helikopter MD530G gegar ruang udara Gemas
Ubah saiz-+=