Angkara ceroboh rumah jiran, Molly mati ditembak

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BUKIT RAMBAI 21 Jun – Kejam! itu nasib yang menimpa seekor kucing yang bernama Molly apabila ditembak oleh dua beranak menggunakan senapang angin selepas berang dengan haiwan peliharaan itu kerana menceroboh masuk rumah dua mereka petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christoper Patit berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 44 tahun dipercayai pemilik kucing tersebut kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Katanya, menurut laporan tersebut, pengadu telah membawa kucingnya ke klinik haiwan apabila mendapati kucing peliharaannya mengalami muntah darah dan luka kecil di bahagian belakang badan kucing.

“Menurut pengadu, doktor haiwan di klinik memaklumkan kepada pengadu bahawa haiwan peliharaannya itu telah ditembak dan terdapat geguli besi dalam badan dan kucing tersebut tidak dapat diselamatkan.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah telah menahan suspek utama berusia 62 tahun pada jam 8 malam semalam dan anaknya berusia 27 tahun turut ditangkap hari ini untuk disiasat.

“Ketika serbuan di rumah suspek, pihak polis turut menjumpai 17 butir peluru penabur di dalam bilik bersama selaras senapang angin dan beberapa alatan dipercayai alat ganti senapang itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan pasangan itu direman empat hari bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan dan jika disabitkan boleh didenda minimum RM 20,000 dan maksimum RM 100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut menyeru kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah atau aktiviti yang mencurigakan supaya menyalurkan kepada pihak polis bagi mengekang kegiatan jenayah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1295
Kongsi :
Previous post Peruntukan tambah baik ICQS dipertimbangkan
Next post ICQS tenang, tidak semeriah sebelum pandemik COVID-19
Ubah saiz-+=