
IFTAR MEGA ‘ALA DULU-DULU’, KACAU DODOL WARNAI PELANCONGAN MELAKA SEMPENA RAMADAN
TELOK MAS 3 Februari – Sektor pelancongan Melaka akan terus hidup sepanjang Ramadan menerusi pelbagai penganjuran program berkonsep kerohanian, budaya dan perpaduan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, meskipun sektor pelancongan kebiasaannya bergerak pasif sepanjang Ramadan, namun ia bukan penghalang untuk Kerajaan Negeri menganjurkan acara pelancongan bersesuaian.
Jelas beliau, antara yang dirancang adalah program kacau dodol yang dijadual diadakan di Banda Hilir, selain berbuka puasa (iftar) mega di lokasi terbuka yang akan diumumkan kelak.
“Dua program ini akan merancakkan Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026. Jadi, sudah pasti kita tidak mahu melepaskan peluang menggamit kehadiran pelancong meskipun pada bulan puasa.
“Program ini kita anjurkan bertujuan menghidupkan semula tradisi masyarakat lama selain memberi pengalaman unik kepada pengunjung dan pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal (Zakat Fitrah) Serta Pengagihan Fidyah Kepada Asnaf Fakir dan Miskin MAIM DUN Telok Mas Bagi Tahun 2026/1447H di Dewan Komuniti KEMAS, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad; Pegawai Agihan Zakat Daerah Melaka Tengah Nadirah Ismail serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, tarikh bagi kedua-dua program tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Apa yang menarik ialah kita akan ketengahkan suasana berbuka puasa ala zaman dahulu di padang terbuka dengan menggunakan tikar mengkuang.
“Ia juga akan membabitkan penglibatan komuniti setempat, pelancong domestik dan pelancong asing,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


