Ikan masin air tangan Kiah rebutan pesakit darah tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LINGGI 14 Okt. – Ikan masin yang dihasilkan Kiah Suboh, 70 di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, di sini sejak 10 tahun lalu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar makanan itu.

Ini kerana ikan berkenaan berbeza dengan ikan masin yang dipasarkan sama ada di kedai runcit atau pasar sekitar Kuala Sungai Baru.

Kiah berkata, ikan itu tidak dilumurkan dengan garam seperti yang dibuat oleh pengusaha ikan masin lain, sebaliknya hanya dimasukkan ke dalam air garam dalam tempoh yang singkat.

“Ikan masin yang biasa dijual di kedai runcit atau pasar dibuat dengan kaedah ikan dibelah dan kemudian dilumurkan dengan garam sebelum dijemur dan ia menyebabkan ikan itu menjadi benar-benar masin.

“Saya hanya membelah ikan untuk membuang perut dan insangnya sebelum memasukkannya ke dalam air garam hanya untuk tempoh antara 10 hingga 20 minit sebelum menjemurnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di kampung berkenaan hari ini.

Ia membuatkan ikan berkenaan tidak telalu masin berbanding kaedah melumurkannya dengan garam yang sering dipraktikkan pengusaha ikan masin secara komersial, katanya.

Beliau berkata, ikan itu ditangkap nelayan di kampung berkenaan yang menjual kepadanya pada harga munasabah untuk dijadikan perusahaan pembuatan ikan masin secara kecil-kecilan.

Antara jenis ikan yang menjadi pilihan utama untuk dijadikan ikan masin ialah selangat, gelama, selar dan cabok, iaitu anak ikan parang yang lazimnya ditangkap dalam jumlah yang banyak pada musim angin barat dari September hingga November.

Dengan menawarkannya pada harga RM15 sekilogram, ikan masin air tangan Kiah mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna sekitar Kuala Sungai Baru, terutama mereka yang gemar memakan ikan masin, tetapi tetap ingin menjaga kesihatan daripada diserang darah tinggi.

“Ramai pelanggan yang takut darah tinggi tetapi gemar makan ikan masin, jadi mereka memilih ikan masin yang tidak terlalu masin yang saya hasilkan,” katanya.

Ibu tunggal itu berkata, sejak kematian suami kira-kira 10 tahun lalu, beliau tidak mempunyai pendapatan lain selain menjadikan perusahaan pembuatan ikan masin sebagai sumber pendapatan utama.

Katanya, pada musim terlalu banyak ikan didaratkan nelayan, beliau terpaksa meminta beberapa anaknya membantu memproses ikan berkenaan mengikut resepinya.

Katanya, dengan hasil jualan itu, beliau amat bersyukur kerana mampu membiayai kos perbelanjaan harian yang tidak pernah turun, selain membuat sedikit tabungan.

Views:

1548
Kongsi :
Previous post Rasuah: bekas setiausaha politik bekas menteri didakwa esok
Next post Menteri Agama sah pulih daripada COVID-19
Ubah saiz-+=