Ikan pari Tambak Klebang bawa tuah menang RM25,000

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KLEBANG 28 Ogos – Tewas sekali bukan bermakna tewas selama-lamanya. Itu yang berjaya dibuktikan seorang pemancing Azren Hussin, 47, yang berjaya membuktikan usaha dan semangat tidak mengenal erti kalah mampu membuahkan hasil.

Ia selepas pemancing dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu dinobat johan Pertandingan Memancing Surfcasting Ambang Merdeka 2022 di Pantai Tambak Klebang, di sini, hari ini.

Azren berkata, dia yang berkampung selama dua hari di Melaka tidak menyangka pelaburannya menyertai dua pertandingan memancing akan berakhir dengan kejayaan apabila salah satunya berjaya menjadikannya juara untuk memenangi hadiah utama RM25,000.

Kata pekerja swasta itu, selepas tewas pada pertandingan memancing di Kuala Sungai Baru semalam, dia bersama tujuh rakan nekad untuk meneruskan perjuangan di Klebang dalam misi memburu kejuaraan.

Misi itu nyata berjaya direalisasikan apabila umpan udang hidup yang dilabuhkannya disambar ikan pari beting seberat 6.015 kilogram (kg) kira-kira jam 9.40 pagi, sekali gus muncul ikan terberat menewaskan hampir 1,200 pemancing lain.

“Saya terpaksa bertarung hampir satu jam untuk mendaratkan ikan pari yang terkenal dengan semangat juang tinggi.

“Alhamdulillah ia menjadi ikan terberat pertandingan dan rezeki untuk saya dan rakan-rakan yang berpanas selama dua hari untuk menyertai pertandingan memancing.

“Sebelum ini saya pernah memenangi pertandingan memancing di Bagan Pinang pada tahun 2011 dan memenangi hadiah RM10,000, tetapi kali ini ia merupakan hadiah kemenangan terbesar pernah saya terima dan menjadi kenangan manis untuk saya,” katanya kepada pemberita selepas tamat pertandingan.

Kejayaan itu melayakkannya memenangi hadiah wang tunai RM25,000 berserta iringan yang disampaikan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu, Samsuddin Johari dan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Abdul Jameel Abdul Jabar.

Tempat kedua pula dimenangi Mohd Khairil Abdul Kadir, 31, dari Jitra Kedah yang menaikkan ikan pari seberat 5.970kg, manakala tempat ketiga milik Mohd Noor, 57, dari Kuala Lumpur juga dengan spesis sama seberat 5.340kg.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 dan RM3,000.

Untuk rekod, pertandingan memancing itu merupakan yang pertama kali diadakan di kawasan Tambak Klebang.

Pertandingan anjuran Wak Jali Event Management dan disokong Tourism Malaysia bersama UMNO Bahagian Tangga Batu menyaksikan hampir 600 ekor ikan daripada pelbagai spesies berjaya dinaikkan peserta.

Selain ikan pari, antara spesies lain yang mendominasi tangkapan ialah ikan daun baru, kurau, senangin, kerapu, mayong, malong dan sembilang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2224
Kongsi :
Previous post 5 tan abu al-Quran dilupus di laut
Next post Lebih 1,000 motosikal terima petrol percuma
Ubah saiz-+=