Impian nelayan Melaka miliki rumah jadi nyata

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

KUALA LINGGI 12 Jun – Impian seramai 60 nelayan di negeri ini untuk memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan selepas menerima ‘syurga’ baharu yang lebih selesa di bawah Projek Penempatan Semula Nelayan di Kuala Sungai Baru Ilir, di sini.

Projek di bawah peruntukan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu telah memulakan kerja-kerja awal sejak tahun 2014, namun, projek berkenaan mengalami kelewatan.

Bagaimanapun hasil usaha Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, projek perumahan itu berjaya disiapkan dan kini boleh didiami komuniti nelayan yang layak.

Menurut Ab Rauf, menerusi projek penempatan semula nelayan itu, sebanyak 60 unit rumah jenis berkembar (Semi-D) telah dibina di tanah seluas 5.6 hektar di mukim Sungai Baru Ilir dengan menelan keseluruhan kos sebanyak RM8.9 juta.

Jelas beliau, projek itu merupakan salah satu inisiatif dan manifestasi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan kesejahteraan nelayan di negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa cakna dan prihatin mengenai nasib dan kebajikan para nelayan serta menyedari bahawa memiliki rumah kediaman ini merupakan satu keperluan utama untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana kita dapat merealisasikan detik dan impian yang amat bermakna bagi 60 orang warga nelayan yang akhirnya menjadi kenyataan dengan memperoleh sebuah rumah kediaman yang selesa, selamat dan kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Nelayan Di Mukim Kuala Sungai Baru Ilir, Daerah Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Yang turut hadir, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ab Rauf memaklumkan, sekalung penghargaan perlu diberikan kepada agensi-agensi Kerajaan Negeri seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN); Perbadanan Melaka (MCORP); Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan semua pihak terlibat dalam merealisasikan projek berkenaan sejak awal hingga akhir.

Menurut beliau, untuk permulaan seramai 36 nelayan yang telah melepasi tapisan kelayakan menerima kunci rumah berkenaan, manakala bakinya akan diserahkan secara berperingkat.

“Kerajaan Negeri berharap KPKM dapat membantu mempermudah dan mempercepat proses pemilihan peserta dengan kaedah penurunan kuasa kepada Kerajaan Negeri bagi penentuan peserta yang layak menerima unit rumah ini.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan proaktif dengan keputusan penurunan kuasa oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kepada Dr. Muhamad Akmal selaku Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Serahan kuasa ini bagi membolehkan beliau untuk menyemak, meneliti dan memperhalusi penentuan sahkan kelayakan permohonan dan seterusnya meluluskan setiap permohonan yang berbaki 24 pemohon bantuan perumahan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

277
Kongsi :
Previous post Ketua Menteri tinjau persiapan sambut keberangkatan Agong di Masjid Sultan Ibrahim
Next post Kehadiran alga di perairan Melaka tunjuk trend penurunan
Ubah saiz-+=