Kehadiran alga di perairan Melaka tunjuk trend penurunan

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LINGGI 12 Jun – Sampel bacaan biotoksin di perairan Melaka merekodkan bacaan semakin baik, namun larangan menjual spesies dwicengkerang seperti kupang masih dikuatkuasakan, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Dr. Muhamad Akmal memaklumkan, sampel bacaan air yang diambil bagi mengesan kehadiran alga yang berbahaya kepada kesihatan manusia telah menunjukkan trend penurunan saban minggu.

Bagaimanapun, jelas beliau, bacaan tersebut masih berada di paras tidak selamat untuk penternak dan pencari kupang menjual hasil kepada orang ramai.

“Sebab itu kita minta jangan tuai hasil atau jual kepada orang ramai sehingga dimaklumkan Jabatan Perikanan.

“Tapi, insya-Allah, dalam tempoh sebulan ini kita akan lihat bagaimana trend tersebut dapat menurun hingga ke paras selamat.

“Jika kita dapati ia selamat, maka larangan tersebut akan ditarik semula dan dwicengkerang atau kupang-kupang ini boleh dijual seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Nelayan Di Mukim Kuala Sungai Baru Ilir, Daerah Alor Gajah yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, pengambilan sampel air bagi mengesan kehadiran alga itu diadakan setiap minggu kerana ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi demi keselamatan orang ramai.

Katanya, selain bertujuan mengesan jumlah lokasi tercemar, sampel berkenaan juga dijadikan indikator utama sebelum mengangkat semula larangan penjualan dwicengkerang di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

90
Kongsi :
Previous post Impian nelayan Melaka miliki rumah jadi nyata
Next post Kediaman selesa untuk nelayan Melaka pada harga RM45,000 sahaja
Ubah saiz-+=