Inflasi meningkat 2.5 peratus dengan 184 item makanan naik pada 2021
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Inflasi Malaysia pada 2021 meningkat 2.5 peratus yang didorong oleh kenaikan harga makanan dan bahan api, demikian Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sebanyak 184 item makanan daripada keseluruhan 552 item dalam ‘bakul’ Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan kenaikan.
Beliau berkata peningkatan itu juga lebih tinggi berbanding 0.7 peratus yang direkodkan sebelum pandemik pada 2019.
“Pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada kehidupan seharian masyarakat. Bagaimanapun, usaha kerajaan dalam melaksanakan pemberian vaksin percuma kepada rakyat telah membantu memulihkan keyakinan perniagaan dan seterusnya meningkatkan keyakinan pengguna untuk keluar berbelanja.
“Selain itu, kebenaran rentas negeri dan semua sektor ekonomi telah dibuka semula bermula 11 Oktober, 2021. Ini telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara terutamanya dalam sektor pengedaran dan peruncitan,” katanya dalam kenyataan bersempena laporan Analisis IHP Tahunan 2021, merangkumi analisis terperinci terhadap data inflasi bagi siri masa 2010 hingga 2021 mengikut 12 kumpulan utama barang dan perkhidmatan.
Secara keseluruhannya, kenaikan inflasi 2.5 peratus adalah disumbangkan oleh indeks pengangkutan (11.0 peratus); makanan dan minuman (1.7 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.6 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.5 peratus) yang menyumbang 72.0 peratus kepada keseluruhan wajaran IHP.
Mohd Uzir berkata sebanyak 80.0 peratus komponen makanan dalam kumpulan makanan dan minuman mencatatkan peningkatan.
“Peningkatan harga komoditi global telah memberi kesan kepada inflasi makanan. Peningkatan harga ayam yang melebihi purata harga ayam pada 2020 adalah impak daripada kenaikan harga stok makanan haiwan,” katanya.
Mohd Uzir berkata kekurangan bekalan import, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan 3.0 serta penutupan sempadan negara adalah antara faktor yang mempengaruhi turun naik harga di pasaran tempatan.
Mengenai inflasi pengangkutan, Mohd Uzir berkata peningkatan dua digit (11.0 peratus) adalah disebabkan kesan asas penetapan harga siling petrol RON95 (RM2.05 seliter) dan diesel (RM2.15 seliter) sejak Mac 2021.
Selain itu, penamatan diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) selama tiga bulan dan berakhir pada September 2021 turut memberi tekanan kepada kenaikan inflasi negara bagi 2021.
Mengikut negeri, tujuh negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 2.5 peratus dengan peningkatan tertinggi oleh Terengganu (3.4 peratus).
Peningkatan ini terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga ayam, telur, minyak masak dan ikan, dan makanan laut pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 2.2 peratus pada 2021 berbanding 2020 (-1.0 peratus) dengan kumpulan pengangkutan menyumbang peningkatan tertinggi 13.3 peratus berbanding negatif 12.0 peratus yang direkodkan pada 2020.
Pada 2021, inflasi teras meningkat lebih perlahan kepada 0.7 peratus berbanding 1.1 peratus pada tahun sebelumnya
Peningkatan tertinggi inflasi teras terutamanya disumbangkan oleh hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah sebanyak 1.6 peratus.
Mengenai inflasi negara-negara ASEAN, beliau berkata ia mencatatkan peningkatan antara 1.2 peratus kepada 3.9 peratus pada 2021.
Filipina mencatatkan kadar inflasi tertinggi iaitu 3.9 peratus, manakala Thailand mencatatkan inflasi terendah sebanyak 1.2 peratus.
Singapura, Vietnam, Indonesia dan Brunei masing-masing mencatatkan kenaikan 2.3 peratus, 1.9 peratus, 1.6 peratus dan 1.5 peratus.
Analisis IHP Tahunan, 2021 yang lebih terperinci boleh dimuat turun di www.dosm.gov.my.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.