Sorting by

×

Paha nelayan koyak ditusuk taring monyet jantan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER LIMAU 1 Jun – Gara-gara cuba menangkap seekor anak monyet, seorang nelayan cedera selepas diserang dan digigit monyet jantan dalam kejadian di Kampung Sungai Timun, di sini, jam 1 tengah hari 21 Mei lalu.

Ariffin Salleh, 47, terpaksa menanggung kesakitan apabila paha kanannya ditusuk taring tajam monyet jantan yang berasa terancam dengan tindakannya.

Ketika kejadian dia bersama isteri dan tiga anak berusia antara empat hingga 13 tahun sedang bersiap untuk menikmati makan tengah hari.

“Tiba-tiba kami dengar bunyi bising dari arah reban ayam di belakang rumah. Lalu saya keluar untuk meninjau keadaan dan melihat sekumpulan 20 ekor monyet sedang memakan pisang dan menglilingi reban ayam.

“Haiwan itu bertempiaran lari selepas melihat saya memegang sebatang kayu dan ketika itu juga seekor anak monyet terlepas dari dakapan ibunya.

“Saya terus ambil anak monyet berkenaan, tidak disangka perbuatan saya menimbulkan kemarahan tiga induk yang kemudian bertindak menyerang saya,” katanya.

KECEDERAAN pada paha Ariffin akibat digigit monyet jantan. Foto Din Ahmad

Dia berasa terancam bertindak menendang haiwan berkenaan namun dalam keadaan cemas seekor monyet menggigit pahanya menyebabkan dia mengalami luka.

Bagi melepaskan gigitan Ariffin menumbuk haiwan berkenaan yang kemudian melarikan diri ke arah hutan berhampiran.

“Akibat luka saya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Lubok Cina menggunakan ambulans sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Alor Gajah berikutan luka yang dalam.

“Buat sementara waktu saya tidak boleh turun ke sungai, jadi masa yang ada saya gunakan untuk menjahit jaring yang terkoyak, selain menyelenggara enjin motor sangkut,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1857
Kongsi :
Previous post Operasi Halangan di Jalan Temiang-Pantai
Next post Inflasi meningkat 2.5 peratus dengan 184 item makanan naik pada 2021
Ubah saiz-+=