Inisiatif memperbaiki pendawaian elektrik agar lebih selamat diperluas

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER MOLEK 25 Jan – Inisiatif membaiki pendawaian elektrik usang akan diperluaskan ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengelakkan kemalangan seperti terkena renjatan elektrik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman berkata, sistem pendawaian yang tidak selamat harus diperbaiki terutama pada Peranti Arus Baki (PAB) dan Papan Agihan (DB).

“Usaha bagi memastikan keselamatan premis terlibat terutama dalam kawasan kampung akan diperluaskan menerusi inisiatif Suruhanjaya Tenaga agar ia lebih selamat buat penduduk.

“Kita menyasarkan banyak program keselamatan akan dilaksanakan di DUN ini dan telah mengenal pasti beberapa lokasi lain seperti balai raya dan gelanggang akan dibaiki hasil insiatif disumbangkan suruhanjaya ini.

“Suruhanjaya Tenaga komited akan mengembangkan program ini dibawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke seluruh DUN bagi negeri ini” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutupan Program Touchpoint Suruhanjaya Tenaga diadakan di Kampung Batu Putih, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Kawasan Suruhanjaya Tenaga Negeri Sembilan dan Melaka, Ir Nur Ali Za Omar.

Rahmad berkata, pada program dianjurkan itu, sebanyak RM5,000 peruntukan daripada Suruhanjaya Tenaga telah disalurkan buat Surau Kiyai Haji Husin bagi membaiki pendawaian yang dipercayai berusia 46 tahun.

“Alhamdulillah, terima kasih diucapkan kepada Suruhanjaya Tenaga yang sudi menyalurkan inisiatif ini sekali gus memberi kesedaran penduduk dalam sistem pendawaian demi keselamatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ir. Nur Ali Za berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM30,000 bagi memperluaskan inisiatif terbabit di kawasan perkampungan membabitkan Negeri Sembilan dan Melaka.

“Program CSR ini akan diperluaskan dengan pelbagai program touchpoint dan kempen keselamatan berkaitan pendawaian yang sempurna bagi memastikan keselamatan dalam sesebuah premis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1691
Kongsi :
Previous post 32,800 asnaf dan B40 naik bas percuma tanpa had Feb ini
Next post 17 tokan antara 157 individu kantoi dadah
Ubah saiz-+=