Insentif RM84,600 untuk 188 pelajar cemerlang STPM, Huffaz 2022

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 27 Julai – Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM84,600 sebagai insentif kepada 188 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Huffaz Tahun 2022.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan tersebut dibahagi kepada tiga kategori iaitu pelajar cemerlang STPM peringkat kebangsaan dan peringkat negeri dan pelajar Huffaz cemerlang.

“Syabas dan tahniah kepada penerima anugerah cemerlang STPM 2022 dari Kolej Tingkatan 6 Tun Fatimah, Gee Wei Nee yang tersenarai dalam 20 pelajar terbaik STPM peringkat kebangsaan.

“Melaka turut mencatatkan peningkatan dalam pencapaian peratus lulus penuh STPM 2022 dengan 99.42 peratus jika dibandingkan hanya 99.03 peratus pada tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Huffaz 2022 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Datuk Mustafa Musa.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata seramai 143 pelajar Huffaz cemerlang daripada tiga sekolah dalam Negeri Melaka turut diraikan pada majlis itu.

“Tiga sekolah yang cemerlang ini adalah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar, Sekolah Menengah Agama Tahfiz Al-Quraz Chenderah dan Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Abqari.

“Anak-anak Huffaz ini telah menghafaz 30 juzuk Al-Quran dan lulus peperiksaan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2373
Kongsi :
Previous post Lakukan penyelarasan sebelum keluarkan permit – MPAG
Next post Penternak perlu patuh SOP
Ubah saiz-+=