Penternak perlu patuh SOP

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BUKIT BARU 27 Julai – Sebuah kilang ayam di Kuala Sungga yang didakwa menjadi punca bau busuk dan lalat boleh berdepan tindakan tegas sekiranya masalah sama masih membelenggu penduduk.

Antara tindakan akhir yang boleh dilaksanakan termasuklah merobohkan premis berkenaan sekiranya isu itu masih gagal menemui penyelesaian.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, bagaimanapun Kerajaan Negeri berharap isu itu dapat diselesaikan dengan baik.

Jelasnya, Kerajaan Negeri memainkan peranan untuk menyelesaikan aduan yang disuarakan penduduk dan bukan mengganggu mana-mana pihak.

Rais meluahkan rasa dukacita berikutan semakan dijalankan mendapati reban ayam dibina tidak mempunyai permit sementara.

“Kita dapati ada hampir lima reban ayam di kawasan itu yang sebenarnya tidak mempunyai permit sementara, jadi saya rasa amat dukacita dengan perkara ini.

“Justeru kita sudah meminta agensi berkaitan ambil tindakan sepatutnya, mungkin bermula dengan kompaun.

“Kalau tidak selesai juga kita akan lihat bagaimana seterusnya dan jika perlu atau masih lagi tidak boleh (selesai), tiada jalan lain selain notis perobohan tetapi kita tidak mahu ke tahap itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Kempen Premis Makanan Bersih (Medan Selera PBT) 2023 di Medan Selera Bukit Baru, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Menurutnya, apa yang dibimbangkan perkara itu akan memberikan kesan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jika berlaku kemalangan di kawasan berkenaan.

“Kita beri peluang dan ruang kepada penternak, peniaga tidak kira skala kecil atau besar. Tetapi perlulah patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Sebolehnya kita mahu semua boleh terus berniaga, tidak mahu berlaku isu terputus bekalan ayam. Tetapi apabila ada aduan kita perlu pastikan keselesaan penduduk sekitar.

“Fokus kita bukan untuk ganggu mana mana-mana pihak tetapi hendak pastikan aduan ini dapat diselesaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1087
Kongsi :
Previous post Insentif RM84,600 untuk 188 pelajar cemerlang STPM, Huffaz 2022
Next post Melaka mahu bawa pulang khazanah berharga di luar negara – KM
Ubah saiz-+=