Melaka mahu bawa pulang khazanah berharga di luar negara – KM

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 27 Julai – Tidak mahu generasi sekarang dan masa akan datang terus keliru atau tertanya-tanya mengenai sejarah sendiri, Kerajaan Negeri kini giat menjalankan usaha untuk membawa pulang artifak dan bahan bersejarah milik Kesultanan Melayu Melaka yang bertebaran di serata dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, hasil kajian dijalankan pengkaji sejarah mendakwa terdapat banyak artifak dan dokumen sejarah membabitkan Melaka tersimpan di beberapa negara.

Jelas beliau, antara lokasi yang tersimpan khazanah berharga itu ialah Okinawa, Jepun; Vatican City, Rom; India serta Muzium Topkapi di Turkiye.

Ab Rauf berkata, tujuan utama membawa pulang artifak sejarah tersebut adalah untuk ‘meluruskan’ semula sejarah Negeri Melaka yang telah dipesongkan oleh penjajah.

Menurutnya, usaha tersebut dibantu jawatankuasa khas yang dianggotai seramai 10 pengkaji sejarah Melayu.

“Ramai pengkaji sejarah menemui saya dan memberi galakan supaya melakukan sesuatu untuk membawa pulang artifak terbabit yang kini berada di serata dunia kerana ia boleh menyokong usaha bagi memperbetulkan fakta sejarah berkaitan negeri ini.

“Dengan kewujudan artifak sejarah itu sebenarnya membuktikan kehebatan sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang diketuai oleh Laksamana Hang Tuah itu wujud di serata dunia.

“Kerajaan negeri sedang berusaha membawa balik semua artifak ini dan sedang mengatur bajet khas bagi memastikan usaha itu dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Huffaz 2022 Melaka, di sebuah resort, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Timbalannya Rosli Abdullah; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mohd Ghazali Ahmad dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM), Datuk Mustafa Musa.

Menurut beliau, terbaharu, pengkaji sejarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rohaidah Kamaruddin mengesahkan mengenai penemuan surat diutuskan Maharaja Rom kepada Laksamana Hang Tuah kini tersimpan di sebuah muzium di Itali.

Jelasnya, surat dikatakan dihantar oleh perutusan maharaja terbabit yang juga pelukis terkenal potret Monalisa, Leornardo Da Vinci kini tersimpan di sebuah muzium di Vatican City.

“Dr. Rohaidah melakukan kajian sejarah itu ke Vatican City dan satu daripada hasil penyelidikan terbabit menemui sepucuk surat dipercayai ditujukan kepada Hang Tuah dengan menggunakan nama Laksamana Orang Muda.

“Ada beberapa perkataan yang sukar dibaca di surat berkenaan tetapi beliau yakin surat itu ditujukan kepada Hang Tuah sebelum dititahkan oleh Sultan Mansur Syah untuk menghadap Maharaja Rom. Surat itu dihantar oleh Leornardo Da Vinci,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1829
Kongsi :
Previous post Penternak perlu patuh SOP
Next post Perluas Kempen Premis Makanan Bersih
Ubah saiz-+=