Perluas Kempen Premis Makanan Bersih

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BUKIT BARU 27 Julai – Kempen Premis Makanan Bersih yang juga sebahagian daripada perancangan menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan diperluaskan ke seluruh negeri.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini kempen anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu hanya membabitkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Namun beliau, berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di negeri ini mengikuti langkah sama, sekali gus menyokong kempen dijalankan.

“Saya berharap semua pihak menyambut baik kempen ini dalam usaha kita untuk pastikan persekitaran medan selera di Negeri Melaka sentiasa bersih serta terbaik.

“Bukan sahaja sedap mata memandang tetapi yang penting keselamatan orang ramai ketika menjamu selera. Aspek kebersihan dan keceriaan penting untuk pastikan TMM24 berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Kempen Premis Makanan Bersih (Medan Selera PBT) 2023 di Medan Selera Bukit Baru Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Rais berkata, Medan Selera Bukit Baru Utama antara 13 lokasi dipilih sebagai tapak kempen itu yang berlangsung selama empat hari bermula Isnin.

“Besar harapan saya untuk melihat apa dikongsi menerusi kempen ini menjadi amalan, bukan bersifat sementara. Peniaga diminta sentiasa amalkan dan sentiasa meningkatkan tahap kebersihan premis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1202
Kongsi :
Previous post Melaka mahu bawa pulang khazanah berharga di luar negara – KM
Next post Manfaatkan teknologi air Australia
Ubah saiz-+=