INSWA kekalkan tradisi makan beradab

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

DUYONG 10 Mei – Institut Warisan Melaka (INSWA) mengekalkan tradisi makan secara beradab seperti zaman dahulu menerusi penganjuran rumah terbukanya di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, hari ini.

Pengurus Besarnya, Abdul Malek Bador berkata, ia sekali gus menjadikan INSWA agensi Kerajaan Negeri yang pertama mewujudkan tradisi itu pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Biasanya kita lihat rumah terbuka duduk atas kerusi semua, tetapi kita mahu wujudkan kelainan dengan membawa semua jemputan ke Balai Adat ini untuk menjamu selera sambil bersila.

“Kali ini kita buat kelainan untuk memperkenalkan kepada umum bahawa rumah adat ini adalah satu warisan Negeri Melaka yang perlu diketengahkan yang mana masih wujudnya adat-adat di negeri ini.

“Saya lihat hari ini masih ramai tetamu datang mengekalkan tradisi seperti dahulu dengan mengenakan pakaian tradisional, memakai tanjak dan sebagainya,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri INSWA di Perkampungan Hang Tuah, di sini, hari ini.

photo1683708321
DUYONG 10 MEI 2023. Tetamu yang hadir mengekalkan tradisi makan secara beradab seperti zaman dahulu pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Institut Warisan Melaka (INSWA) di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, Duyong, Melaka. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Abdul Malek berkata pihaknya kini sedang aktif melaksanakan program pertukaran budaya dengan negara luar bagi memperkenalkan warisan Melaka.

“Baru-baru ini kita mengadakan lawatan ke Wilayah Yala, Thailand untuk memperkenalkan budaya Melaka khususnya dari segi muzik dan tarian yang terkenal di Melaka.

“Alhamdulillah maklum balas diterima daripada mereka sangat baik, rata-rata tertarik dengan Dondang Sayang yang kita persembahkan kepada mereka, insya-Allah Julai ini kita akan ke Rom (Itali) dan Switzerland untuk program yang sama.

“Budaya kita sebenarnya lebih kurang macam negara lain, cuma bezanya kita ada muzik warisan yang mempunyai pantun serta makna tersirat di dalam lagu-lagu tradisional,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1863
Kongsi :
Previous post Pemandu dipercayai mabuk rempuh lima kereta
Next post Anggota PBT Melaka tingkat ilmu pengetahuan cara kendali pasar awam, pasar malam
Ubah saiz-+=