Isteri rayu bantu bawa pulang suami ke Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MERLIMAU 3 April – Isteri kepada jemaah umrah yang terkandas di sebuah hospital di Mekah, Arab Saudi, memohon ihsan orang ramai untuk membantu melunaskan bil perubatan dan membawa suaminya pulang ke Malaysia.

Jaliah Yusof, 62, berkata, dia bersama suaminya Kamis Ahmad, 67, bersama empat lagi adik-beradik ke tanah suci pada 5 Mac dan sepatutnya pulang ke tanah air 15 Mac lalu.

Katanya, Kamis yang dijadualkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) Mei ini terpaksa ditahan di sebuah hospital untuk rawatan lanjut selepas mengalami sesak nafas.

“Suami koma selama lapan hari, meskipun sudah sedar, keadaannya masih kritikal dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Saya dan empat ahli keluarga pulang ke Malaysia pada 15 Mac seperti dijadualkan, dua hari kemudian anak kedua kami ke Mekah untuk temankan bapanya,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Muhamad Akmal Saleh sempena pelancaran tabung derma kilat untuk membawa suaminya pulang di Japerun Merlimau, di sini, hari ini.

Warga emas menetap di Felda Kemendor itu meluahkan kerunsingan hatinya susulan kos rawatan suaminya telah mencecah hampir RM150,000 dan dijangka akan meningkat.

“Sebagai isteri, sudah pasti saya sedih, namun tidak boleh melayan rasa ini, matlamat dan tujuan saya satu sahaja iaitu mendapatkan sumber kewangan mencukupi untuk membawa pulang suami ke Malaysia.

“Apa cara sekalipun saya dan ahli keluarga lain akan berusaha untuk dapatkan dana tersebut, selain simpanan sedikit yang kami ada, saya harap dermawan tampil untuk membantu,” katanya.

Orang ramai mahu membantu boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Maybank anak pasangan ini, Syahmi Ammar Kamis di nombor 554035429281.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1797
Kongsi :
Previous post Pemuda UMNO lancar tabung bantu jemaah terkandas
Next post PM berbuka puasa bersama barisan kabinet, MB, KM dan duta asing
Ubah saiz-+=