Isu kekurangan jururawat akan ditangani segera – Dr Zaliha
BANDARAYA MELAKA 5 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu kekurangan jururawat di hospital awam dan swasta dalam negara.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan mencari penyelesaian segera bagi menangani isu melibatkan profesion tersebut.
“Seperti hari ini di persidangan Nursing Professional Group International Nursing Conference 2023, saya mendengar setiap ‘curhat’ (curahan hati) daripada peserta dan wakil persatuan jururawat yang terlibat.
“Saya ambil berat setiap perkara yang dibangkitkan dan di peringkat kementerian kita akan cari solusi untuk selesaikan masalah melibatkan profesion jururawat, bahkan profesion lain juga dalam bidang perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Nursing Professional Group International Nursing Conference 2023 di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Kesihatan Melaka, Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman, Pengerusi NPG, Prof. Zahrah Saad dan Pengarah Kejururawatan KKM S.M Devi.
Persidangan tersebut dihadiri kira-kira 500 peserta dengan 400 daripadanya hadir secara fizikal dan 100 lagi menyertainya secara maya.
Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata, pihaknya akan bertemu dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan berbincang lebih lanjut mengenai isu kekurangan jururawat.
“Peranan jururawat sangat penting dan isu ini memberi kesan kepada penjagaan kesihatan negara, jadi kita akan tangani segera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.