KBS ‘segarkan’ program Rakan Muda

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 5 Mac – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkasakan semula Program Rakan Muda sebagai antara program utama untuk golongan belia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, program yang selama ini menjadi antara ‘flagship’ utama kementerian itu akan ditambah baik dengan memperkenalkan pelbagai aktiviti buat anak muda.

Beliau berkata, KBS turut akan memperkenalkan beberapa program lain yang bersesuaian bagi memberi manfaat kepada belia menempuh cabaran kehidupan masa kini.

“Program Rakan Muda akan diperkasakan semula dengan lebih baik malah kita juga akan memperkasakan program literasi kewangan untuk manfaat belia dalam menempuh cabaran hari ini.

“Program ini akan kembali hadir sebagai program utama di mana ia adalah program flagship KBS selama ini.

“Kita mahu kembalikan semangat asal Rakan Muda untuk mendapatkan manfaat terutama belia bersekolah atau baru menamatkan persekolahan, khususnya mereka yang ingin meneroka bidang baharu dengan kerjasama persatuan belia dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan acara pelepasan Neon Night Fun Walk di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini malam tadi.

IMG_20230305_091319_209
AYER KEROH – Suasana orang ramai yang menyertai Program Neon Night Fun Walk & Run di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada program itu, kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan umur, agama dan bangsa membanjiri dataran tersebut bertujuan mempromosikan amalan gaya hidup sihat.

Dalam pada itu, Adam Adli berkata, pihaknya turut mengalu-alukan persatuan belia dan sukan di seluruh negara untuk mengadakan program riadah, rekreasi, sukan dan santai.

Katanya, bagi memastikan program dianjurkan mendapat sambutan penduduk ia boleh dilaksanakan berdekatan kawasan perumahan.

“Lebih baik jika dianjurkan di kawasan kediaman menerusi pelbagai aktiviti seperti zumba, senam robik, pertandingan, permainan tradisional dan pelbagai lagi untuk menarik minat masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2502
Kongsi :
Previous post KKM buka klinik bergerak pantau ‘penyakit banjir’ – Dr Zaliha
Next post Isu kekurangan jururawat akan ditangani segera – Dr Zaliha
Ubah saiz-+=