KKM buka klinik bergerak pantau ‘penyakit banjir’ – Dr Zaliha
BANDARAYA MELAKA 5 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuka klinik bergerak bagi memantau penyakit bawaan air di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat pasca banjir.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata pihaknya akan memantau penyakit musim banjir terutamanya kencing tikus (leptospirosis) dan keracunan makanan.
Katanya, dua penyakit tersebut sering berlaku terutama ketika selepas banjir melanda sesuatu kawasan.
“Kita juga akan menggerakkan pasukan kesihatan untuk aktiviti pembersihan terutama di fasiliti-fasiliti kesihatan yang terjejas dengan bencana banjir.
“KKM juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ketika berlaku banjir terutama dalam menguruskan pusat pemindahan sementara (PPS).
“Selain itu, kita juga akan membuat semburan untuk mengelak penyakit berjangkit selain membuka klinik bergerak sebagai rawatan segera kepada mangsa banjir yang sakit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Nursing Professional Group (NPG) International Nursing Conference 2023 bertemakan Invest in Nursing: Then, Now and What’s to Come di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Kesihatan Melaka, Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman, Pengerusi NPG, Prof. Zahrah Saad dan Pengarah Kejururawatan KKM S.M Devi.
Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata pihaknya juga masih melakukan saringan COVID-19 kepada mangsa banjir yang berpindah ke PPS.
“Di setiap PPS kita juga masih melaksanakan saringan kesihatan COVID-19, kepada semua mangsa bencana.
“Dan sekiranya didapati ada yang dijangkiti kita akan rawat dengan segera dan tindakan segera akan diambil sebelum merebak kepada mangsa yang ada di PPS terbabit,” katanya.
Setakat ini, seramai 48,989 orang yang ditempatkan di PPS seluruh negara dengan pecahan Johor dengan jumlah paling tinggi seramai 44,860 mangsa, diikuti Pahang (2,978), Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor (71).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.