Sorting by

×

‘MELAKA SUDAH PINDAH?’ INI SEJARAH MELAKA PINDAH

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

MACHAP JAYA 6 Mei – Nama Melaka Pindah sering menjadi gurauan dan usikan ramai terutamanya di media sosial apabila mengaitkan Negeri Melaka sudah berpindah.

Namun, tahukah anda, di sebalik nama ini tersimpan sebuah kisah perpindahan yang membentuk identiti sebuah komuniti hingga ke hari ini.

Nama itu bukan sekadar sebutan tetapi menjadi tanda kepada perjalanan sekumpulan penduduk dari Melaka yang membuka penempatan baharu di kawasan ini suatu ketika dahulu.

Perpindahan itu tidak hanya membawa mereka ke lokasi baharu, malah turut mengalirkan bersama budaya, adat dan cara hidup yang masih dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat kampung berkenaan hari ini.

Warisan yang dibawa itu menjadikan Melaka Pindah kekal unik dengan identiti tersendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Melaka Pindah Ab Aziz Jantan berkata, difahamkan penghijrahan tersebut berlaku atas faktor keperluan penempatan semula dan usaha mencari sumber rezeki yang lebih baik, sebelum penduduk mula membina kehidupan baharu berasaskan sektor pertanian sebagai tunjang utama ekonomi ketika itu.

“Pada peringkat awal penduduk mengusahakan sawah padi hanya untuk kegunaan sendiri tanpa tujuan komersial.

“Dulu sawah padi hanya untuk makan sendiri, apabila keperluan berubah tanah itu kemudian ditukar kepada tanaman kelapa sawit yang lebih memberi pulangan kepada penduduk,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah beliau, perubahan itu menunjukkan keupayaan masyarakat kampung menyesuaikan diri dengan arus semasa tanpa memutuskan hubungan dengan sejarah asal kampung.

“Selain pertanian, penduduk turut mengembangkan industri kecil seperti pembuatan dodol dan kuih baulu yang menjadi antara warisan turun-temurun yang masih diteruskan hingga kini,” katanya.

Pindah 1
AB Aziz semasa menceritakan tentang sejarah makam Datok Paduka Seri Maharaja Lela.

Selain itu, katanya, sejarah lisan penduduk turut mengaitkan kawasan ini dengan pengaruh warisan Melayu lama serta kisah tokoh-tokoh perjuangan seperti Datok Paduka Seri Maharaja Lela yang sinonim dengan penentangan terhadap penjajahan British, yang menjadi sebahagian daripada ingatan sejarah masyarakat setempat.

Dalam perkembangan terkini, Kampung Melaka Pindah turut mula mencuri perhatian apabila sektor pelancongan kini semakin berkembang menerusi pembangunan inap desa.

“Setakat ini, terdapat kira-kira 10 inap desa yang berdaftar sebagai ahli inap desa Negeri Melaka. Kita menggalakkan kedatangan pelancong untuk merasai sendiri suasana kampung serta menelusuri sejarah di sini,” katanya.

Katanya, usaha memperkukuh ekonomi penduduk turut diperkasa melalui penghasilan produk makanan tempatan seperti kuah kacang sejuk beku dan kuih tradisional.

“Gabungan antara sejarah asal usul dan pembangunan ekonomi semasa menjadikan Melaka Pindah bukan sahaja unik dari segi nama, malah semakin berpotensi sebagai destinasi pelancongan desa yang terus berkembang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

291
Kongsi :
Previous post INISIATIF 1 PBT 1 AMBULANS PERKUKUH BANTUAN KECEMASAN DI JASIN