
WRUR AYER MOLEK: MPHTJ MASUK KAMPUNG, BAIKI KEDIAMAN UZUR
AYER MOLEK 6 Mei – Sejak pagi suasana di Kampung Busut Licin sibuk dengan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan persekitaran penempatan itu dan kerja-kerja menceriakan lima kediaman uzur menjadi tempat berteduh kira-kira 30 penduduk.
Projek naik taraf dan pembaikan kecil itu dilaksanakan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata, kerja-kerja baik pulih melibatkan pelbagai aspek seperti mengecat rumah, menggantikan tikar getah serta sumbangan barangan elektrik kepada penerima terpilih.
“Pemberian sumbangan adalah berdasarkan pendaftaran dalam sistem e-Kasih, namun terdapat juga kes tertentu seperti mangsa bencana yang turut dibantu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kebersihan dan Pembaikan Kecil Rumah sempena Program WRUR DUN Ayer Molek Hang Tuah Jaya: Kampung Kita di Kampung Busut Licin, Pengkalan Minyak, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata Kampung Busut Licin yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama sebelum ini berdepan kekangan akses apabila penduduk terpaksa menggunakan laluan tanah merah milik individu dan kawasan estet bagi melakukan urusan harian.
Bagaimanapun, katanya, pembangunan taman perumahan baharu berhampiran telah membuka laluan alternatif yang lebih baik kepada penduduk kampung berkenaan.
“Walaupun kedudukan kampung ini agak jauh dari jalan utama, Kerajaan Negeri dan pihak DUN Ayer Molek tidak pernah mengabaikan kebajikan penduduk di sini.
“Program seperti ini membuktikan komitmen berterusan kita dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

