
WRUR AYER MOLEK: ZIARAH KASIH MAIM SANTUNI 10 KELUARGA ASNAF, MUALAF
AYER MOLEK 6 Mei – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus menunjukkan keprihatinan ke atas golongan asnaf dan mualaf menerusi program ziarah kasih yang diadakan bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, menerusi program itu seramai 10 keluarga termasuk individu perseorangan yang memerlukan perhatian telah disantuni.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, kehadiran ke rumah asnaf terpilih itu bukan sekadar menyampaikan bantuan makanan, barangan keperluan dan wang tunai, malah yang lebih penting menerapkan nilai-nilai kasih sayang serta keprihatinan.
“Walaupun kesemua 10 keluarga yang diziarahi merupakan penerima bantuan sedia ada, namun kita tetap turun padang untuk memastikan kebajikan mereka terus terbela dan tidak terpinggir.
“Daripada 10 keluarga, empat daripadanya adalah asnaf mualaf, di mana mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kehadiran menerusi program ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat untuk mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Mualaf dan Asnaf Fakir Miskin MAIM sempena WRUR DUN Ayer Molek, di Solok Gaung, Bukit Lintang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Baitulmal Mohd Hairulamin Mohd Sis; Pegawai Tugas Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, Ziarah Kasih MAIM turut menjadi medan memberikan sokongan moral kepada penerima yang rata-ratanya menghidap pelbagai penyakit kronik, sekali gus memerlukan perhatian berterusan.
“Dalam 10 keluarga yang disantuni saya melihat ada dalam golongan miskin, ada juga yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara keluarga serta yang paling terkesan apabila ada warga emas sebatang kara yang tinggal seorang diri dalam keadaan lumpuh separa badan.
“Kita mahu membina kekuatan dan semangat selain mendengar apa antara permasalahan lain yang ingin diluahkan secara terus tanpa karenah birokrasi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

